Peguam gesa polis siasat dakwaan sogokan penyelesaian 1MDB


The Malaysian Insight

Haniff Khatri Abdulla berkata siasatan polis penting bagi menentukan kebenaran dan untuk menghilangkan keraguan berhubung terdapatnya isu salah laku dalam penyelesaian 1MDB dan Goldman Sachs. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 April, 2021.

POLIS perlu menyiasat laporan mengenai dakwaan kononnya terdapat sogokan berkaitan penyelesaian 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dengan Goldman Sachs, kata peguam Haniff Khatri Abdulla.

Beliau berkata siasatan mengenai perkara itu penting untuk menentukan kebenaran dan bagi menghilangkan keraguan jika ada pihak yang menerima komisen berhubung penyelesaian tersebut.

Beliau menambah yang siasatan juga perlu menentukan apakah ada salah laku oleh mana-mana pihak seperti didakwa beberapa pihak.

“Saya rasa kita harus melihatnya secara objektif. Saya percaya ada pihak yang membuat laporan polis meminta perkara itu disiasat terlebih dahulu,” katanya.

Beliau juga berkata mereka yang bertanggungjawab menyebarkan maklumat itu harus dihadapkan ke mahkamah jika dakwaan tersebut didapati palsu.

“Tetapi jika kenyataan itu sendiri salah dan memfitnah, maka mungkin siasatan harus diteruskan untuk mengenal pasti pelaku yang menyebarkan maklumat atau mesej jahat tersebut sehingga menimbulkan kekeliruan dan persoalan mengenai tindakan terhadap 1MDB,” katanya

“Oleh itu, saya yakin laporan polis adalah untuk membantu menyelesaikan masalah ini,” tambahnya.

Adun Kuang Sallehudin Amiruddin baru-baru ini membuat laporan polis yang mendesak pihak berkuasa menyiasat dakwaan viral yang jutaan ringgit dibayar kepada sebuah parti politik melalui seorang peguam berprofil tinggi berhubung penyelesaian 1MDB-Goldman Sachs.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan menafikan dakwaan itu, sambil menambah itu adalah satu lagi usaha pembangkang untuk memfitnah parti dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Peguam Rosli Dahlan, penasihat utama 1MDB juga membuat laporan polis terhadap Sallehudin, Lokman Adam dan penulis blog Mohd Hanizam Yunus kerana dakwaan jahat yang menuduh beliau menerima berbilion ringgit sogokan daripada Goldman Sachs dalam penyelesaian 1MDB itu.

Laman web pemberi maklumat, Sarawak Report juga menyebut sumber yang 5% daripada penyelesaian dengan Goldman Sachs diberi sebagai komisen kepada perunding utama yang dilantik oleh kerajaan.

Lembaga pengarah 1MDB baru-baru ini berkata dalam satu kenyataan yang penasihat undang-undang dilantik untuk proses itu tidak dibayar berdasarkan komisen.

“Penasihat undang-undang ini dibayar berdasarkan kos waktu yang dipersetujui sebelumnya, dan bukan berdasarkan komisen atau peratusan nilai penyelesaian, atau aset yang diperoleh kembali,” katanya dalam satu kenyataan pada 26 Mac.

Lembaga pengarah berkata keutamaannya adalah untuk mendapatkan kembali aset yang berkaitan dengan dana pembangunan strategik negara itu.

Pengarah 1MDB berkata wang tunai penyelesaian bernilai AS$2.5 bilion yang diterima daripada Goldman Sachs dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset (Akaun Amanah) yang disenggara oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia. – 2 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen