Penasihat undang-undang dilantik 1MDB tidak dibayar komisen, kata lembaga pengarah


Penasihat undang-undang yang dilantik bagi membantu rundingan penyelesaian mendapatkan semula aset 1MDB tidak dibayar berdasarkan komisen, kata lembaga pengarah 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mac, 2021.

PENASIHAT undang-undang yang dilantik bagi membantu rundingan penyelesaian mendapatkan semula aset 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tidak dibayar berdasarkan komisen, kata lembaga pengarah syarikat itu.

“Yuran profesional penasihat undang-undang yang dilantik berdasarkan jumlah masa terlibat, selaras dengan kadar yang dirunding dan dipersetujui, dan bukan berdasarkan komisen mahupun peratusan nilai penyelesaian atau nilai aset yang diperolehi,” kata lembaga pengarah 1MDB dalam satu kenyataan hari ini.

Lembaga itu berkata keutamaan sekarang ialah usaha untuk mendapatkan semula aset 1MDB.

“Bagi tujuan itu, Kementerian Kewangan menubuhkan Pasukan Khas dianggotai wakil 1MDB, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bank Negara Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Pusat Governans, Integriti dan AntiRasuah Nasional.

“Proses ini juga melibatkan pelantikan penasihat undang-undang profesional yang akan membantu 1MDB di dalam usaha mendapatkan semula aset dan tindakan sivil di mahkamah.”

Adun Kuang Sallehudin Amiruddin baru-baru ini membuat laporan polis menggesa pihak berkuasa menyiasat sama ada berjuta ringgit dibayar kepada parti politik menerusi peguam berprofil tinggi.

Peguam Rosli Dahlan kemudian membuat laporan polis terhadap Sallehudin, Lokman Adam dan bloger Mohd Hanizam Yunus kerana mendakwa beliau menerima berbilion ringgit daripada Goldman Sachs menerusi penyelesaian 1MDB.

Laman web Sarawak Report juga memetik sumber berkata 5% daripada penyelesaian dengan Goldman Sachs diberikan sebagai komisen kepada perunding utama yang dilantik kerajaan.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan menafikan tuduhan itu, berkata ia adalah cubaan pembangkang untuk memfitnah parti itu dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Lembaga pengarah 1MDB berkata penyelesaian tunai bernilai AS$2.5 bilion (RM10.4 bilion) diterima daripada Goldman Sachs dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset (Akaun Amanah) yang disenggara oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia.

“Baru-baru ini, 1MDB juga berjaya membuat penyelesaian bernilai RM2.83 bilion dengan AMMB Holdings Berhad, dan RM324 juta dengan Deloitte. Semua hasil yang diterima daripada usaha pengembalian aset ini, termasuk penyelesaian yang akan datang, telah atau akan dimasukkan ke dalam Akaun Amanah tersebut,” katanya.

Kenyataan itu berkata 1MDB mempunyai RM32.3 bilion hutang yang perlu dibayar dalam bentuk sukuk dan bon.

Dua daripada hutang tersebut adalah bon denominasi dolar Amerika Syarikat (AS) bernilai AS$3.5 bilion (RM14.7 bilion) dengan kadar kupon 5.75% dan 5.99%, yang akan matang pada 2022, manakala bon denominasi dolar AS AS$3 bilion (RM12.6 bilion) dengan kadar kupon 4.4% pula akan matang pada 2023.

Hutang terakhir 1MDB iaitu sukuk bernilai RM5 bilion dengan kadar keuntungan 5.75% akan matang pada 2039. Jumlah keseluruhan bon/Sukuk termasuk bayaran prinsipal dan kupon/keuntungan yang perlu dibayar oleh 1MDB sehingga tarikh matang adalah sebanyak RM40.51 bilion. – 26 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen