PAS lebih gemar Bersatu berbanding Abang Long, kata penganalisis


Mohd Farhan Darwis

PAS dijangka hanya mampu memperolehi hanya kira-kira sembilan hingga 10 kerusi sahaja jika kekal di dalam Perikatan Nasional. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mac, 2021.

PAS dilihat cenderung memilih untuk bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) berbanding Umno, yang bekerjsama dengan parti Islam itu dalam Muafakat Nasional (MN), kata penganalisis.

Pengkaji ini melihat, PAS sudahpun memutuskan pilihan tersebut sewaktu menjadi sebahagian daripada komponen PN dan mendaftar gabungan politik itu bersama Bersatu tanpa Umno.

Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia Mazlan Ali berpendapat, PAS cenderung demikian kerana rundingan agihan kerusi lebih mudah bersama Bersatu, terutama di Pantai Timur.

Selain itu, Umno pula sudah terang-terangan akan menentang PAS di beberapa negeri, katanya kepada The Malaysian Insight.

“Pilihan terbaik PAS adalah bersama Bersatu, kalau dengan Umno ada masalah di Pantai Timur, contohnya Umno Terengganu, mereka merasakan negeri itu hak mereka.

“PAS pula hendak ikut keputusan dalam Pilihan Raya Umum ke-14, Umno tak terima, kita boleh tengok kenyataan kepimpinan Umno di Terengganu,” katanya.

Selain itu, PAS juga lebih selesa dengan Bersatu kerana tidak banyak bertembung dengan parti itu di kawasan yang hendak ditandinginya dan begitu juga bagi parti tunjang PN itu.

“PAS tak bertembung maksimum dengan Bersatu… Bersatu tanding di kawasan PAS tak tanding,” katanya.

Selain itu, PAS juga dapat menonjolkan imej juara penyatuan ummah jika kekal bersama Bersatu dan Umno dilihat sebagai pengkhianat penyatuan itu jika tidak bersama, kata Mazlan.

“Umno pula akan dilihat sebagai pengkhianat ummah. Pengundi Melayu akan lihat PAS dan Bersatu itu berusaha ke arah penyatuan ummah.

“PAS dapat kelebihan di Pantai Timur dengan sokongan Bersatu. PAS mampu tarik sokongan Melayu yang sokong Umno di Pantai Timur dan Utara Semenanjung.

“Kalau bersama Umno, mereka akan bertembung di Terengganu dan Kelantan,” kata Mazlan.

Bagi kawasan Pantai Barat, Mazlan berpendapat PAS akan mendapat kelebihan daripada PN melalui kelompok bukan Islam dalam Bersatu.

Pengkaji Ilham Center pula berpendapat, PAS lebih yakin untuk bersama Bersatu yang diketuai Muhyiddin Yassin berbanding Umno yang dipimpin Ahmad Zahid Hamidi.

Pengarah eksekutifnya Hisommuddin Bakar malah berpendapat pilihan itu sudahpun nyata di tangan PAS.

“Saya rasa PAS dah ada pilihan iaitu Bersatu dan PN. Bila PAS buat keputusan bersama dengan PN, keyakinan PAS untuk memihak kepada Muhyiddin dan PN lebih kuat berbanding MN yang dipelopori mereka dengan Umno.

“Pertimbangan PAS untuk sertai PN adalah kerana mereka lebih yakin kepada Bersatu berbanding dengan Umno,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Hisommuddin berkata, PAS lebih mudah berunding untuk agihan kerusi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 bersama Bersatu berbanding Umno.

Katanya, PAS lebih selesa dengan PN kerana mendapat kelebihan untuk berada dalam kerajaan bersama Bersatu dan tiada parti yang cuba mendominasi gabungan itu.

“Lebih mudah PAS runding agihan kerusi dengan Bersatu banding Umno. Umno hendak kekal watak sebagai ‘Abang Long’ dan ingin mendominasi gabungan. Itu membuatkan PAS rasa tak selesa jika dibanding dengan Bersatu.

“Sebagai parti dalam kerajaan, ruang diberikan kepada PAS oleh Bersatu lebih terbuka, ada ruang untuk PAS berbincang dan berperanan dalam kerajaan.

“Dengan layanan Bersatu itu sudah tentu PAS lebih selesa bersama Muhyiddin berbanding Zahid,” katanya.

Namun begitu, peluang untuk PAS menambah bilangan kerusi daripada 18 kerusi Parlimen sekarang lebih tinggi jika mereka bersama Umno dan MN, kata penganalisis Unversiti Malaya.

Awang Azman Awang Pawi berkata, PAS mampu menambah antara 20 hingga 25 kerusi lagi jika tidak bersama PN.

“Kedudukan PAS lebih baik dan terjamin bersama Umno dari segi menang jumlah kerusi yang bakal dimenangi.

“Hubungan PAS dengan Bersatu pula lebih untuk mendapat manfaat kepada PAS ketika Bersatu ada kuasa dan kedudukan,” kata Awang Azman.

Menurutnya, PAS dijangka hanya mampu memperolehi hanya kira-kira sembilan hingga 10 kerusi sahaja jika kekal di dalam PN.

Tambahnya, keputusan PAS bagaimanapun sukar dijangka kerana sering berubah-berubah mengikut kepentingan pemimpin mereka.

“PAS berasa lebih banyak manfaat bersama Bersatu yang kini menerajui negara sebagai perdana menteri daripada bersama Umno.

“Namun apabila Parlimen bubar, peluang PAS untuk kembali bersama tetap ada kerana ketika itu Bersatu tak ada kuasa dan manfaat lagi bagi PAS,” kata Awang Azman.

Umno dalam perhimpunan agung parti itu hujung minggu lalu menetapkan pendirian untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu sebaik tamat perintah darurat pada atau sebelum 1 Ogos.

Umno juga tidak akan berganding dengan Bersatu dalam PRU15 dan akan bertanding dengan lambang BN dalam pilihan raya itu.

Ia turut memberi kata dua kepada PAS supaya meninggalkan PN untuk mengekalkan kerjasama dalam MN, sekiranya tidak mahu ditentang dalam PRU15. – 30 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen