Situasi di Malaysia terkawal, kata polis


Alfian Z.M. Tahir

Sekurang-kurangnya dua pengebom bunuh diri maut dan 20 penganut serta beberapa pekerja gereja cedera dalam kejadian di Makassar, Ahad lalu.– Gambar EPA 30 Mac, 2021.

RAKYAT Malaysia teruamanya penganut Kristian tidak perlu bimbang tentang keselamatan mereka susulan serangan pengganas di sebuah gereja di Indonesia Ahad lalu, kata Ketua Penolong Pengarah Cawangan Khas Bahagian Counter Terrorism (E8) Normah Ishak.

Normah memberitahu The Malaysian Insight situasi di negara ini terkawal dan menambah rangkaian sosial di Malaysia berbeza dengan Indonesia.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai serangan bom yang menggegarkan sebuah gereja di Makassar, Kepulauan Sulawesi Ahad lalu, ketika penganut Kristian sedang menjalani aktiviti keagamaan.

Sekurang-kurangnya dua pengebom bunuh diri maut dan 20 penganut serta beberapa pekerja gereja cedera.

“Kumpulan militan di Indonesia sangat terancang tidak seperti individu di Malaysia yang mana strukturnya sangat lemah dan tanpa pemimpin,” kata Normah.

“Geografinya juga berbeza. Jika mereka cuba memasuki Malaysia menerusi semenanjung, mereka akan tertangkap dan tidak banyak tempat mereka boleh bersembunyi.”

Polis Indonesia menyifatkan serangan itu sebagai “serangan pengebom bunuh diri” yang dilancarkan oleh sepasang suami isteri yang baru berkahwin dipercayai ahli kumpulan ekstremis.

Polis berkata pasangan berkenaan adalah ahli Jamaah Ansharut Daulah (JAD), kumpulan ekstremis yang bertanggungjawab atas beberapa siri serangan termasuk serangan pengebim bunuh diri di Surabaya pada 2018.

Kedua-dua penyerang menunggang motosikal dan cuba masuk ke kawasan gereja ketika bom meletup.

Gereja menjadi sasaran oleh kumpulan ekstremis Indonesia yang merupakan negara majoriti beragama Islam.

Di Malaysia, sekurang-kurangnya 10 gereja dan beberapa masjid turut diserang atau menjadi mangsa perbuatan vandalisme sejak kepitusan Mahkamah Tinggi yang melarang bukan Islam menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan pada 31 Disember, 2009.

Baru-baru ini Penolong Pengarah Cawangan Khas Bahagian Counter Terrorism Azman Omar memberitahu sebuah forum bahawa tiada bukti yang menunjukkan kumpulan Jemaah Islamiah semakin berpengaruh di Sabah.

Jemaah Islamiah merupakan kumpulan ekstremis yang mempunyai sel di Indonesia, Singapura, Malaysia dan Filipina. Ia bertujuan untuk mewujudkan Negara Islam di rantau ini.

“Tiada bukti yang menunjukkan JI kembali di Sabah walaupun pemimpinnya Abu Bakar Bashir sudah keluar dari penjara.

“Bagaimanapun kita memantau bekas ahli JI yang telah dibebaskan. JI aktif pada awal tahun 2000 tapi bukan sekarang. Tiada risikan menunjukkan wujud gerakan itu,” kata Azman pada forum anjuran Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia.

JI mengaku bertanggungjawab terhadap pengeboman sebuah kelab malam di Bali yang mengorbankan 202 nyawa serta serangan di Jakarta meragut 12 nyawa.

Ahli kumpulan ekstremis berkenaan kemudian disabitkan kesalahan.

Antara 2014 dan 2020, 83 individu yang disyaki terlibat dengan JI ditahan di Sabah.– 30 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen