Polis ambil keterangan Isa Samad kes pindah milik tanah RM270 juta


Yasmin Ramlan

Isa Samad ketika disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada Jun lalu berhubung siasatan rasuah dan tuduhan penyalahgunaan kuasa dalam FGV.– Gambar fail The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 4 Januari 2018

Polis mengesahkan pasukan itu selesai mengambil keterangan bekas pengerusi Felda Isa Samad hari ini berhubung urus niaga tanah meragukan membabitkan hartanah agensi itu di Kuala Lumpur.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata, beberapa orang lagi individu yang dikaitkan dengan skandal isu Felda itu juga akan dipanggil untuk diberi keterangan bagi membantu siasatan dalam masa terdekat ini.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan identiti individu terbabit.

“Saya ingat kenyataan (Isa Samad) selesai diambil pagi tadi 10 pagi di Bukit Aman.

“Ada beberapa orang lagi yang ada kaitan. Saya tak payah dedah. Tapi kita akan susun siapa yang akan dipanggil berikutnya dalam masa terdekat ini.

“Kita akan cuba selesaikan pengambilan kenyataan yang melibatkan individu yang ada kaitan dengan kes berkaitan. Ada beberapa orang lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Penyerahan Buku KPI MDN 2018 di Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya.

Fuzi dalam kenyataannya minggu lalu berkata individu terbabit berada di luar negara dan akan dipanggil apabila pulang ke tanah air.

Katanya, siasatan berhubung isu tersebut juga akan memakan masa lama kerana memerlukan penelitian.

Timbalan Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki juga pada minggul lalu menyebut, tiada unsur rasuah dalam pemindahan hak milik tanah di Jalan Semarak, Kuala Lumpur itu.

Transaksi pemidahan hak milik tanah Felda di Jalan Semarak yang bernilai RM270 juta kepada syarikat Synergy Prominade Sdn Bhd dilakukan ketika Isa menjadi pengerusi Felda sejak 2011 hingga awal Januari 2017.

Isa juga menjadi pengerusi bukan eksekutif Felda Investment Corporation (FIC) pada 2013 sehingga 2017.

Beliau meletak jawatan sebagai pengerusi Felda Global Ventures (FGV) pada Jun lalu sebelum dilantik sebagai pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), yang mencetuskan bantahan ramai.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen