Fasa kedua vaksinasi Covid-19 bermula 19 April, kata Khairy


Ragananthini Vethasalam

Malaysia akan memulakan fasa kedua vaksinasi Covid-19 pada 19 April yang melibatkan kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas dan mereka yang mempunyai sejarah penyakit. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mac, 2021.

MALAYSIA akan memulakan fasa kedua vaksinasi Covid-19 pada 19 April, kata Khairy Jamaluddin.

Fasa kedua akan melibatkan kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas, mereka yang mempunyai penyakit kronik dan orang kurang upaya (OKU).

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan itu berkata bahawa mereka yang mendaftar akan diberitahu mengenai janji temu mereka melalui aplikasi MySejahtera, SMS dan panggilan telefon pada 5 April. 

Penerima akan diberitahu tarikh temu janji mereka dua minggu lebih awal.

Khairy menambah mereka yang berada dalam kumpulan berisiko tinggi akan diberi keutamaan walaupun mereka daftar lewat.

Beliau turut mendesak mereka yang mendaftar melalui MySejahtera agar bersikap jujur ketika memberikan maklumat dan tidak memberikan fakta palsu demi mendapatkan vaksin dengan cepat.

Mereka mungkin diketepikan di tempat vaksinasi jika maklumat yang diberikan itu palsu, tambahnya.

Pada 28 Mac, 530,158 temu janji vaksinasi telah diberikan. Sementara itu, jumlah pendaftaran telah mencapai 7.23 juta. – 29 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen