Pembangkang pura-pura lupa apa Dr Mahathir buat, kata Azalina 


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said berkata Pakatan Harapan jelas menunjukkan yang ia tidak mempunyai prinsip dengan menerima Dr Mahathir sebagai pemimpin mereka hari ini.– Gambar Youtube, 4 Januari, 2018.

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said mendakwa pembangkang sebelum ini menggelar Dr Mahathir sebagai pemerintah kuku besi namun kini berpura-pura lupa dengan tindak-tanduk bekas perdana menteri itu.

Katanya, sikap Pakatan Harapan itu menunjukkan gabunga parti pembangan tersebut tidak mempunyai prinsip kerana menerima Dr Mahathir sebagai pemimpin mereka hari ini.

“Mungkin pembangkang boleh berpura-pura melupakan apa yang pernah Dr Mahathir lakukan, namun saya pasti ini bukan realitinya terutama kepada bekas-bekas hakim-hakim yang terlibat dan ahli-ahli keluarga mangsa tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Segala kenyataan dan kata-kata yang diungkapkan oleh Dr Mahathir pada hari ini termasuk ucapannya ketika perhimpunan agung Bersatu boleh disifatkan sebagai retorik politik semata-mata hanya untuk kembali berkuasa atas kepentingan peribadi,” kata Azalina dalam satu kenyataan semalam.

Dr Mahathir semalam mengulangi kenyataannya bahawa pemecatan Salleh Abas sebagai ketua hakim negara adalah kehendak Yang di-Pertuan Agong pada masa itu.

Katanya, peguam negara ketika itu, Abu Talib Othman menggunakan namanya untuk memecat Salleh bagi menjaga nama baik Agong.

Saya berani junjung al-Quran dan bersumpah bahawa saya tak suruh dia sebut bahawa saya yang suruh, yang suruh (ialah) Yang di-Pertuan Agong,” kata Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya semalam.

Azalina bagaimanapun mempersoalkan mengapa Dr Mahathir mengambil masa 30 tahun untuk mendedahkan perkara tersebut kepada umum.

“Kenapa beliau mengambil masa begitu lama untuk membersihkan namanya? Kes itu telah berlaku 30 tahun dahulu.

“Adakah beliau juga akan bersumpah yang beliau tidak terlibat dalam Operasi Lalang 1987 dan menggunakan ISA sehingga menyebabkan hampir 100 ahli politik ditahan?” soal Azalina dalam kenyataan sama.

Dr Mahathir pada 2008 mengesahkan bahawa Salleh dipecat oleh tribunal yang ditubuhkan ketika beliau menjadi perdana menteri.

Isu tersebut dibangkitkan pada waktu itu apabila kerajaan mengumumkan bayaran khas sebanyak RM10.5 juta kepada enam hakim yang terlibat dalam krisis kehakiman pada 1988 itu, termasuk Salleh yang menerima RM5 juta.

Perdana menteri waktu itu, Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan kerajaan menyatakan kekesalan dan membayar pampasan kepada semua yang telah dipecat dalam peristiwa itu.

Isu berkenaan timbul semula pada 2012 dan Mahathir melalui tulisan di blognya chedet.cc pada Februari tahun itu menjelaskan bahawa pemecatan Salleh atas titah Yang di-Pertuan Agong dan bukan atas kehendaknya.

Dr Mahathir berkata, perkara itu juga telah dijelaskan dalam buku memoir beliau. – 4 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen