Saya berani junjung Al-Quran bukan saya pecat Salleh Abas, kata Dr Mahathir


Low Han Shaun

Dr Mahathir Mohamed memberitahu beliau dianiaya dalam kes pemecatan Salleh Abas demi menjaga nama baik Yang di-Pertuan Agong semasa sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 3 Januari, 2018.

DR Mahathir Mohamad hari ini mengulangi pemecatan Salleh Abas daripada jawatan ketua hakim negara bukan berpunca daripadanya dan mengatakan beliau hanya bertindak mengikut arahan Yang di-Pertuan Agong pada masa itu.

Dr Mahathir berkata peguam negara ketika itu, Abu Talib Othman menganiaya beliau untuk “menjaga nama baik Yang di-Pertuan Agong”.

“Salleh Abas (dipecat) bukan kerana saya, malangnya, untuk menyelamatkan nama baik Yang di-Pertuan Agong, peguam negara masa itu… guna nama saya kononnya saya suruh (pemecatan).”

“Saya tak ada campur tangan langsung, kemudian baru saya tau, yang dia guna saya, konon suruh dia pecat, saya tak suruh.

“Saya berani junjung al-Quran dan bersumpah bahawa saya tak suruh dia sebut bahawa saya yang suruh, yang suruh (ialah) Yang di-Pertuan Agong,” katanya di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini.

Dr Mahathir berkata keadaan itu bermula apabila Salleh menghantar surat aduan kepada Agong mengenai bunyi bising akibat proses pembinaan kediaman peribadi Agong.

“Surat itu dihantar oleh Salleh kepada Agong, surat aduan, kerana rumah Salleh terletak berhampiran kediaman peribadi Agong.

“Dan mereka membaiki kediaman peribadi Agong, menyebabkan bunyi bising, dan kerana itu Salleh menulis surat kepada Agong (dengan mengatakan) bunyi terlalu bising dari sana,” katanya sambil menambahkan Salleh juga menghantar salinan surat kepada semua raja-raja.

Ketika itulah, menurut Dr Mahathir, Agong memutuskan untuk memecat Salleh.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata beliau memberitahu Agong ia hanya boleh dilakukan oleh tribunal.

“Dan Agong amat murka minta saya buang Salleh. Saya kata tak boleh buang, sebab kalau nak buang kena ada tribunal, Agong kata buat tribunal.

“Jadi saya melakukan perkara yang hanya boleh disahkan oleh Agong,” katanya. – 3 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen