Prestasi lemah paksa PN tangguh Undi18, kata penganalisis


Chan Kok Leong

Secara umumnya pengundi muda tak terikat atau kurang setia dengan parti politik, jadi menjadi ancaman kepada kerajaan PN, kata penganalisis. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 27 Mac, 2021.

PERIKATAN Nasional (PN) kemungkinan menunda Undi18 dan pendaftaran automatik pengundi kerana prestasi kerajaan yang lemah, kata penganalisis.

“Pengundi muda (berusia bawah 40 tahun) kumpulan yang paling mudah berubah dan menjadi cabaran buat mana-mana kerajaan yang berkuasa,” kata Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia.

“Mereka umumnya antipenubuhan dan tak terikat dengan parti tertentu atau kurang setia kepada parti politik mana pun. Oleh itu, mereka lebih cenderung menyalahkan kerajaan yang berkuasa dan menentangnya bila tak puas hati,” kata pensyarah sains politik itu.

Mazlan berkata kumpulan pengundi ini, terutamanya yang berusia 18 tahun, adalah pengguna media sosial aktif dan peka dengan isu-isu semasa.

“Mereka sentiasa ada maklumat baik mengenai isu-isu semasa, terutama yang mempengaruhi mereka seperti ekonomi, pendidikan dan peluang pekerjaan.”

Lazimnya, kumpulan pengundi ini tidak akan menjadi masalah, kecuali jika kerajaan menunjukkan prestasi buruk, kata Mazlan.

“Tetapi PN, akhir-akhir ini, dilanda kontroversi seperti Perintah Darurat, tuduhan pilih kasih (dalam penguatkuasaan SOP Covid-19), pengurusan ekonomi yang buruk dan ketidakmampuan untuk menyediakan peluang lebih baik buat pengundi muda.

“Berdasarkan ini, boleh jadi PN merasa mereka tak ada kawalan terhadap mereka yang berusia 18 tahun, yang menyebabkan kelewatan dalam melaksanakan Undi 18 dan pendaftaran pengundi automatik.”

Mazlan mengulas kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya pada Khamis pihaknya telah menangguhkan pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran automatik pengundi hingga setelah 1 September 2022.

Walaupun pilihan raya tak akan diadakan sebelum Julai 2023, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berjanji telah berjanji mengadakan pilihan raya setelah Perintah Darurat berakhir pada 1 Ogos. Sekiranya pilihan raya diadakan selepas itu tanpa Undi18, sebanyak 1.2 juta orang berusia 18 tahun tidak akan dapat mengundi pada PRU15.

Undang-undang mengenai Undi18 dan pendaftaran automatik pengundi diluluskan di Parlimen secara sebulat suara dalam undi bersejarah pada 25 Julai 2019.

Jangka waktu awal pelaksanaannya adalah pada Julai tahun ini, dan ini bahkan dijanjikan oleh kerajaan PN, dengan menteri undang-undang Takiyuddin Hassan mengulangi tarikh akhir Julai 2021 dalam beberapa jawapan bertulis Parlimen.

Bagaimanapun sebelum pengumuman SPR mengenai penundaan itu, kerajaan PN telah menunjukkan sikap berat, seperti presiden Dewan Negara dan pemimpin Bersatu Dr Rais Yatim dan juga ketua pemuda Bersatu Wan Ahmad Wan Fayhsal yang merupakan timbalan menteri Belia dan Sukan.

Profesor Universiti Malaya, Dr Awang Azman Awang Pawi juga percaya penangguhan itu disebabkan oleh lemahnya kerajaan PN.

“Mereka masih bergulat dengan masalah ekonomi, kehilangan pekerjaan dan syarikat ditutup akibat pelbagai perintah kawalan Covid-19. Ditambah dengan kekurangan pelaburan dan isu vaksinasi, PN tidak mahu selesaikan lebih banyak ketidakpastian.

“Memasuki pilihan raya baharu dengan blok pengundi muda yang lebih besar hanya akan menyulitkan Muhyiddin,” kata Awang Azman.

Oleh itu, pensyarah sains politik itu berkata lebih baik menangguhkan pelaksanaan pendaftaran automatik pengundi dan Undi 18 hingga selepas pilihan raya.

Tinjauan dalam talian baru-baru ini oleh Institut Darul Ehsan menunjukkan betapa buruknya perasaan golongan muda terhadap kerajaan PN.

Dalam tinjauan 19-28 Februari yang melibatkan 8,352 responden, 62% responden berusia 21-29 tahun berkata mereka tidak berpuas hati dengan cara PN menangani pandemik Covid-19.

Begitu juga, 65% mereka yang berumur antara 30-39 tahun berkata mereka juga tidak berpuas hati dengan kerajaan.

Bagi mereka yang berusia atas 66 tahun, 88% berkata mereka tidak senang dengan cara PN menangani pandemik Covid-19. – 27 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen