NASA lancar penerbangan pertama di Marikh pada awal April 


NASA menyasarkan awal April untuk melancarkan Helikopter Ingenuity Marikh sebagai cubaan pertamanya untuk penerbangan terkawal di planet lain, kata agensi itu pada Selasa.

Setakat ini, pesawat ringan berkenaan kekal pada kenderaan Perseverance, yang mendarat di Marikh pada 18 Februari. 

Pada Ahad, Perseverance menurunkan plet pelindung yang melindungi Ingenuity ketika mendarat, dan kini dalam perjalanan ke lapangan untuk Ingenuity menguji penerbangan pertamanya. 

“Perancangan yang kami ada kini adalah pada 8 April untuk penerbangan pertama,” kata ketua jurutera Helikopter Marikh di Makmal Jet Propulsion Bob Balaram, dan menambah namun begitu ia mungkin akan lebih cepat beberapa hari. 

Balaram mendedahkan Ingenuity membawa secebis kain yang menutup sayap pesawat pertama adik beradik Wright yang merekodkan penerbangan pertama di dunia di Kitty Hawk pada tahun 1903, sebagai tanda penghormatan ke atas pencapaian itu. 

Ingenuity akan cuba terbang di atmosfera yang hanya mempunyai satu peratus ketumpatan atmosfera bumi, yang menyebabkan penerbangan itu agak sukar namun ia akan dibantu oleh graviti bersamaan satu pertiga di planet bumi. 

Penerbangan pertama melibatkan kenaikan pada kadar tiga kaki (satu meter) sesaat untuk ketinggian 10 kaki (tiga meter), berlegar selama 30 saat dan kembali mendarat di permukaan planet berkenaan. 

Ingenuity juga akan merakam fotografi beresolusi tinggi semasa terbang. 

Bagaimanapun sebelum ia dilancarkan, Ingenuity perlu berada di tapak pelepasan, dan diletakkan dalam kedudukan menegak, satu proses yang mengambil masa beberapa hari lagi. 

Sebaik sahaja Perseverance menurunkan helikopter berkenaan, ia perlu dibawa kira-kira lima meter dalam tempoh 25 jam.– AFP, 24 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen