Anwar sedia terima penjelasan SPRM isu ugut wakil rakyat


Mohd Farhan Darwis

Presiden PKR Anwar Ibrahim mengulas kenyataan awalnya untuk mengadakan bertemu SPRM ekoran timbul dakwaan beberapa ahli Parlimen PKR diugut dan menerima sogokan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20, Mac 2021.

KETUA Pembangkang Anwar Ibrahim sedia menerima penjelasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan agensi itu digunakan untuk menekan ahli Parlimen pembangkang.

Presiden PKR itu berkata, beliau akan mengadakan pertemuan bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki pada Isnin depan bagi membincangkan dakwaan berkenaan.

“Kita harus beri ruang yang baik dan positif untuk mereka dengar dan ulas,” kata Anwar yang juga mahu menyuarakan kebimbangan pemimpin Pakatan Harapan (PH) berhubung dakwaan tersebut.

Ini kerana kalangan pemimpin pembangkang mempunyai bukti bahawa tekanan seperti itu benar-benar berlaku, katanya pemberita di satu program santai di Permatang Pauh, Pulau Pinang, hari ini.

“Isnin ini jumpa Azam Baki, beliau setuju jumpa jam 3 petang, (kita akan) kemuka beberapa pandangan dibawa dalam PKR dan PH mengenai kebimbangan kita.

“Dalam (kita) menyokong SPRM sebagai badan profesional dan bebas, kita melahirkan rasa gelisah kerana dipercayai oleh sebahagian kita dengan bukti, agensi kerajaan itu dijadikan sebagai senjata politik menikam musuh,” kata Anwar.

Ketika ditanya, ahli Parlimen Port Dickson itu juga menegaskan perbincangan kerjasama antara Umno dan PH masih di peringkat awal dan tidak rasmi.

“Istilah dia kita ada perbincangan awal, setakat itu dulu.

“Perbincangan tak rasmi, tak semua, saya kata beberapa pemimpin, belum sampai (tahap) perbincangan rasmi, kita hantar lima wakil dia hantar lima wakil, tidak sampai ke situ (lagi).”

Beliau juga berkata, setakat ini terdapat 15 tawaran untuk beliau bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU15) akan datang.

“(Saya) di Port Dickson sekarang, ada 15 kawasan minta saya bertanding, saya kena timbang tanding (di mana), termasuk Pagoh,” katanya lagi.

Beliau mengulas kenyataan awalnya untuk mengadakan bertemu Azam ekoran timbul dakwaan beberapa ahli Parlimen PKR diugut dan menerima sogokan.

Anwar berkata, mereka mahu SPRM menjadi agensi yang tegas membanteras rasuah dan tidak dijadikan senjata politik.

Sejak bulan lalu, sekurang-kurangnya tiga lagi ahli Parlimen PKR bertindak keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas yang menyokong Perikatan Nasional (PN).

Antaranya bekas menteri Xavier Jayakumar yang sebelum ini dikaitkan dengan satu siasatan SPRM  yang menumpukan kepada kenalan rapat keluarganya.

Sehubungan itu, timbul dakwaan ahli Parlimen seperti Xavier akan berhadapan tindakan daripada badan antirasuah sekiranya enggan berpaling tadah daripada PKR dan menyokong PN.

Dakwaan itu timbul sewaktu kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin diasak dengan oleh Umno yang sudahpun mengumumkan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam PRU15.

Beliau didakwa hilang sokongan majorit selepas dua ahli Parlimen Umno, Nazri Aziz (Padang Rengas) dan Ahmad Jazlan Yaakub (Machang) menarik balik sokongan mereka.

Ekoran itu, Muhyiddin mengumumkan Yang di-Pertuan Agong berkenaan dengan melaksanakan darurat yang antara lain menyebabkan seluruh sidang Parlimen digantung.

Tanpa sidang Dewan Rakyat di Parlimen, Muhyiddin bebas dari sebarang usaha untuk membuktikan majoriti sokongan dan keabsahan pentadbirannya sebagai kerajaan. – 20, Mac 2021.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen