Mereka yang lompat parti perlu kosongkan kerusi, kata pemimpin PKR


Ravin Palanisamy Mohd Farhan Darwis Nabihah Hamid

Nik Nazmi Nik Ahmad berkata perlu ada mekanisme baharu untuk mereka yang melompat parti mengosongkan kerusi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Mac, 2021.

TINDAKAN lompat parti tidak boleh dihentikan, jadi perlu ada satu mekanisme untuk membuatkan wakil rakyat yang dipilih mengosongkan kerusi bagi menghormati mandat pengundi mereka, kata Setiausaha Pengelola PKR Nik Nazmi Nik Ahmad.

Oleh kerana perlembagaan persekutuan tidak menghalang wakil rakyat daripada menukar parti selepas dipilih, Malaysia perlu mewujudkan mekanisme seimbang bagi menyelesaikan isu lompat parti,” katanya pada program Insight Talk hari ini. 

“Ada sebilangan yang mahu lompat parti diharamkan terus namun itu juga akan menimbulkan masalah.

“Ada yang mahu tinggalkan parti kerana hati nurani, seperti sekiranya kita tidak bersetuju dengan parti…atau sekiranya kita merasakan perti tersasar daripada apa yang dijanjikan, atau sekiranya parti menjadi korup. Adakah kita masih akan menunggu?

“Jadi timbul persoalan, sekiranya kita mahu haramkan terus lompat parti.”

Bagaimanapun, ahli Parlimen Setiawangsa itu berkata ahli politik yang mahu beralih sokongan pada pertengahan penggal perlu mengosongkan kerusi dan bertanding sekali lagi di bawah logo baharu.

“Kita perlu benarkan mereka yang mahu melompat ke parti lain atau meninggalkan parti mereka.

“Tetapi sebelum itu mereka perlu meletakkan semua jawatan dan kosongkan kerusi mereka.

“Barulah pilihan raya keccil boleh diadakan untuk pengundi membuat pilihan sama ada mereka masih mahukan pemimpin yang sama.”

Perkara 48 (6) perlembagaan menyatakan seseorang yang melepaskan keahliannya di dalam Dewan Rakyat hendaklah, bagi tempoh lima tahun bermula dari tarikh pelepasan keahliannya berkuat kuasa, hilang kelayakan untuk menjadi ahli Dewan Rakyat.

Nik Nazmi berkata bahagian ini dalam perlembagaan persekutuan perli dipinda untuk membolehkan pelaksanaan mekanisme ini.

Beliau mengimbas bekas ahli Parlimen Johor Bahru, Shahrir Abdul Samad yang meninggalkan Umno pada 1988 namun mengosongkan kerusinya dan menjadi calon bebas pada pilihan raya kecil. 

Bagaimanapun perlembagaan persekutuan pernah dipinda pada 1990 bagi memasukkan moratorium 5 tahun untuk mencalonkan diri dalam pilihan raya.

Pindaan itu menyasarkan untuk mengurangkan kos kerajaan, yang mana sebaliknya perlu mengadakan pilihan raya.

Nik Nazmi bersetuju ia akan melibatkan kos, namun menyatakan langkah itu boleh mengurangkan lompat parti.

“Betul ia mungkin melibatkan kos. Tetapi jika kita ada mekanisme seperti itu, tidak ramai yang akan lompat parti kerana mereka mungkin takut untuk berdepan mereka yang mengundinya pada pilihan raya sebelum itu,” katanya.

Sejak beberapa minggu lalu, tiga ahli Parlimen PKR meninggalkan parti dan menjadi wakil rakyat bebas serta menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Mereka adalah Xavier Jayakumar (Kuala Langat), Larry Sng (Julau) dan Steven Choong (Tebrau).

Mereka merupakan sebahagian daripada 15 ahli Parlimen PKR yang keluar parti sejak Februari tahun lalu, apabila gabungan baharu dibentuk untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan. – 17 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen