Sri Lanka pertahan larangan burka dengan alasan keselamatan negara


Sri Lanka mempertahankan cadangan melarang pemakaian burka dan niqab atas alasan isu keselamatan negara. – Gambar EPA, 17 Mac, 2021.

KERAJAAN Sri Lanka menegaskan pada Selasa bahawa larangan wanita Islam memakai burka atau niqab adalah sebagai langkah keselamatan negara, ketika ia berdepan protes berhubung keputusan tersebut.

Umat ​​Islam Sri Lanka menentang tindakan itu dan menganggapnya sebagai tindakan diskriminasi baharu terhadap masyarakat mereka, yang berjumlah 10% daripada 21 juta penduduk yang majoritinya penganut Buddha.

Kerajaan nasionalis Colombo mengambil tindakan keselamatan yang ketat sejak serangan bom bunuh diri pada April 2019 yang mengorbankan 279 orang.

Larangan memakai burka diumumkan pada Sabtu lalu dengan Menteri Keselamatan Awam Sarath Weerasekera berkata ia adalah simbol ekstremisme Islam.

Menteri itu berkata Sri Lanka juga akan menutup madrasah swasta, sekolah agama Islam.

Selepas mesyuarat Kabinet pada Isnin, jurucakap kerajaan Keheliya Rambukwella berkata: “Kami akan bertindak berdasarkan keamanan nasional, bukan perkara lain.”

Beliau berkata akan ada lebih banyak perbincangan Kabinet sebelum larangan itu disahkan dan dilaksanakan.

Burka adalah pemandangan yang jarang ditemui di Sri Lanka, tetapi umat Islam berasa terkejut dengan tindakan tersebut.

Seorang pelajar perakaunan berusia 21 tahun yang dikenali sebagai Aysha berkata “keluar tanpa niqab seolah-olah berjalan tanpa pakaian, tetapi saya akan menutup wajah saya dengan pelitup muka”.

Beliau mempersoalkan mengapa niqab tidak boleh diterima sedangkan pemakaian pelitup muka diwajibkan di khalayak ramai sejak wabak koronavirus meletus.

Majlis Islam Sri Lanka menuduh kerajaan menjadikan umat Islam sebagai simbol kebencian untuk meraih suara majoriti Buddha Sinhala.

Jurucakap Majlis Islam, Hilmy Ahamed menegaskan bagaimana kerajaan membakar mayat lebih 350 orang Islam yang meninggal dunia akibat koronavirus secara paksa, mengabaikan permintaan untuk membenarkan pengebumian mengikut cara Islam.

Kerajaan hanya menghentikan pembakaran secara paksaan bulan ini selepas mendapat tekanan daripada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). 
Bagaimanapun, pengebumian hanya dibenarkan di satu lokasi terpencil.

Aktivis hak asasi Islam Shreen Saroor berkata Sri Lanka mungkin dibuat susulan referendum di Switzerland minggu lalu untuk melarang penutupan wajah sepenuhnya di khalayak ramai.

“Sri Lanka mengambil contoh yang salah dari seluruh dunia,” katanya.

Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Sri Lanka, Saad Khattak mengingatkan larangan yang diusulkan itu “hanya akan melukai perasaan orang Islam Sri Lanka di seluruh dunia”.

Larangan yang dicadangkan menjelang perbahasan di Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva minggu depan mengenai usul yang mendesak Colombo memastikan hak agama minoriti. – AFP, 17 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen