Umno, PKR kini saling memahami, kata Anwar


Presiden PKR Anwar Ibrahim berata muncul penentangan terhadap usaha untuk kerjasama dengan Umno.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Mac, 2021.

ANWAR Ibrahim memberi jaminan akan membuat penjelasan kepada anggota PKR untuk mengelakkan masalah yang mungkin timbul dalam rancangan kerjasama dengan Umno.

Tindakan sama juga akan dijalankan Umno bagi mengelak masalah dalam parti tersebut, katanya seperti dipetik dalam satu wawancara dengan Mingguan Malaysia.

Beliau juga berharap anggota parti lebih taksub kepada idealisme dan bukannya kepada parti semata-mata untuk memastikan kerjasama itu berjaya.

“Di pihak Umno, tentulah pimpinan PKR harus selesaikan. Kalau PKR pula, saya boleh jelaskan kepada akar umbi.

“Sampai bila kita nak taksub kepada parti, seolah-olah parti sahaja (penting), sedangkan parti itu sebenarnya hanya satu landasan atau wahana sahaja.

“Maknanya kita tentulah terikat, ada kesetiaan kepada parti. Tapi taksub kepada parti, ia seharusnya taksub kepada kepada idealisme perjuangan, itu yang sepatutnya,” katanya.

Ditanya mengenai keuntungan yang boleh diperolehi dari kerjasama itu, Anwar berkata perkara itu masih belum dapat dilihat pada masa ini.

Namun, penentangan ke atas usaha tersebut sudahpun muncul dan percaya ia mungkin berkait dengan kebimbangan pemimpin tertentu yang tidak mahu kehilangan jawatan menteri.

Jelasnya, rundingan untuk kerjasama berkenaan bagaimanapun masih di peringkat perbincangan tidak rasmi pada masa ini.

“Dengan pemimpin parti, dan ia hanya perbincangan awal. Tapi dalam perbincangan awal ini, apa yang saya dapat kesan?

“Ia satu yang positif. Sebab kita lebih faham (Umno) dan mereka lebih faham kita,” kata bekas timbalan presiden Umno itu lagi.

Menjawab satu lagi soalan, Anwar berkata kerjasama tersebut boleh berlangsung atas landasan idealisme dan bukan untuk mempertahankan kedudukan menteri tertentu.

Beliau yakin idealiseme membanteras rasuah, meninggikan syiar Islam dan memacu pertumbuhan ekonomi tidak bercanggah di antara kedua-dua parti.

Walaun masih belum ada keputusan untuk kerjasama itu, beliau melihat pemimpin Umno lebih komited untuk menyelamatkan ekonomi dan menyokong dasar prorakyat.

Selain itu, pemimpin Umno tersebut juga menurut Anwar lebih tegas dalam usaha menolak kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin yang disifatkan kerajaan tidak sah.

Komponen Pakatan Harapan lain seperti DAP pula kini lebih lunak dalam isu kerjasama dengan Umno itu.

“Sudah berlaku di Johor, menteri besarnya Umno. Timbalan speaker pula DAP. Di Perak pun sama,” katanya.

Oleh itu, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa kerjasama parti itu dengan Umno benar-benar akan berlaku.

“Bukan sahaja tak mustahil, malah saya tak menolak kemungkinan itu,” katanya.

Ditanya mengenai cita-citanya untuk dilantik menjadi perdana menteri, Anwar menegaskan beliau merupakan calon perdana menteri Pakatan Harapan.

Bagaimanapun perkara itu tidak disenangi oleh pihak yang disebutnya “kaya raya ada duit berbilion-bilion”.

Anwar berkata, beliau sedia memberi laluan kepada pemimpin lebih muda untuk menjadi perdana menteri apabila mencapai usia tertentu.

“Janganlah suruh sampai (usia) 95 tahun,” katanya lagi.

Isu kerjasama dengan Umno mula menjadi perhatian sejak September tahun lalu apabila Anwar mengumumkan memperolehih sokongan majoriti untuk mengambil alih pentadbiran negara.

Sebulan kemudian pada 23 Oktober, Muhyiddin yang sedang berdepan asakan dari Umno menghadap baginda untuk memohon perisytiharan darurat bagi menggantung sidang parlimen.

Anggota Kabinet beliau pada waktu itu mendakwa ia untuk mengelakkan pilihan raya diadakan sewaktu pandemik namun penganalis dan pembangkang percaya ia hanya helah untuk mengelak undi tidak percaya di Parlimen.

Selepas berunding dengan Raja-Raja Melayu, baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengumumkan menolak permohonan perisytiharan darurat dan menitahkan semua ahli politik menghentikan perbalahan.

Baginda juga menitahkan agar ahli politik berkenaan bekerjasama untuk menangani pandemik serta memastikan Belanjawan 2021 diluluskan bagi tujuan itu.

Titah baginda supaya bekerjasama itu diterima dengan pandangan bercampur-campur dari kalangan pemimpin politik yang masih enggan bekerjasama dengan pemimpin dan parti tertentu.

Dalam satu lagi kenyataan pada Oktober, baginda secara khusus menitahkan agar semua ahli parlimen menyokong pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November.

Seterusnya, muncul pula surat bertarikh 11 Oktober didakwa dari Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas presiden Najib Razak yang menyatakan sokongan kepada Anwar.

Pada Januari, Istana Negara mengumumkan Yang di-Pertuan Agong memperkenan permohonan kerajaan pimpinan Muhyiddin untuk mengistihar perintah darurat.

Perintah darurat yang berkuatkuasa antara 11 Januari sehingga 1 Ogos itu antara lain menggantung semua persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Seterusnya pada 19 Februari, Umno memutuskan tidak lagi akan meneruskan kerjasama dengan Bersatu dalam PRU15 namun masih kekal berada dalam kerajaan Perikatan Nasional buat masa ini. – 14 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen