Kami sertai Perikatan untuk bawa kepelbagaian, kata presiden Gerakan 


Khoo Gek San

Presiden Gerakan Dominic Lau berkata keputusan menyertai PN dibincangkan dengan teliti di setiap peringkat parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mac, 2021.

GERAKAN menyertai Perikatan Nasional (PN) kerana gabungan itu kekurangan aspek kepelbagaian kaum, kata presidennya Dominic Lau.

Pengerusi PN yang juga Perdana Menteri Muhyiddin Yassin turut berasa Gerakan boleh membantu gabungan itu mencerminkan perbezaan kaum, agama dan budaya di negara ini, kata Lau.

Bulan lalu, Gerakan secara rasminya menyertai PN yang terdiri daripada Bersatu, PAS dan parti dari Sabah, STAR dan SAPP.

Sebelum itu, Gerakan tiada hala tuju politik selepas meninggalkan Barisan Nasional (BN) pada Jun 2018, selepas gabungan itu hilang kuasa pada pilihan raya umum awal tahun itu.

Lau berkata keputusan untuk menyertai PN dibincangkan dengan teliti di setiap peringkat parti.

Ketika ada segelintir ahli yang tidak bersetuju, beliau berkata “sekurang-kurangnya saya tidak tipu ahli parti”.

Beliau berkata tugasan pertama Gerakan daripada Muhyiddin adalah memberi perhatian kepada pengundi bukan Melayu dan bukan Islam serta membantu PN dalam rangka tindakan perpaduan nasional.

Gerakan juga akan bekerja untuk membantu memberi kemenangan kepada PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), walaupun ini bermakna tiada kerusi diperuntukan kepada parti itu untuk bertanding.

Walaupun didominasi bangsa Cina, Gerakan terbuka kepada semua kaum dan merupakan satu-satunya parti berbilang kaum ketika dalam BN.

“Ketika ini, dalam kalangan parti dalam PN, Bersatu dan PAS condng ke arah orang Islam, manakala STAR dan SAPP memfokuskan kepada Malaysia Timur.

“Tumpuan kurang diberikan kepada bukan Islam, bukan Melayu dan Orang Asal.

“Malaysia adalah negara berbilang bangsa dan agama, dan gabungan pemerintah mesti sertakan faktor kepelbagaian ini untuk memastikan toleransi dan kesederhanaan dalam kerajaan,” kata Lau.

Sejak menyertai PN, Lau berkata wakil parti itu dialu-alukan dalam mesyuarat PN negeri.

PN kini boleh berkhidmat kepada semua kumpulan dengan lebih berkesan, tambahnya.

“Apabila Gerakan dan PN bekerjasama dan berkongsikan sumber, semua orang dapat berdepan pilihan raya.”

Suara didengari

Lau berkata situasi dalam PN berbeza dengan BN yang diterajui Umno. Ketika ia bersama BN, Gerakan mendapati sukar untuk pandangannya didengari.

“Saya perlu perakui bahawa sebelum ini sukar untuk suara dan pandangan kami didengar dalam BN.

“Oleh kerana peranan kami yang terhad dalam BN, pimpinan Gerakan membuat keputusan untuk keluar daripadanya,” katanya merujuk kepada langkah pimpinan pusat parti yang diterajui presiden parti ketika itu Mah Siew Keong selepas PRU14 pada 2018.

Gerakan memilih PN kerana berasa ia sudah menunjukkan prestasi yang baik dalam memerangi pandemik Covid-19, dengan PKP yang tegas oleh Putrajaya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mac, 2021.

Pada pilihan raya itu, Gerakan tidak memenangi sebarang kerusi Parlimen dan DUN yang ditandinginya.

“Bagaimanapun, dalam PN kami didengari oleh semua ahli parti,” kata Lau.

Bagi membawa kepelbagaian kepada PN, Lau berkata Gerakan sering memandang dirinya sebagai parti nasional, dan bukannya parti berasaskan kaum.

“Kami tidak memperjuangkan hak dan kepentingan kumpulan etnik tertentu berdasarkan bangsa, agama dan budaya.

“Pakatan Harapan (PH) tidak menjaga semua etnik dan tidak dapat menunaikan janjinya. Gerakan akan melakukan tugas ini dengan baik.”

Memantau Pulau Pinang

Gerakan juga memaklumkan kepada Muhyiddin yang ia masih menganggap Pulau Pinang sebagai negeri utamanya, dan akan fokus memainkan peranan sebagai semak dan imbang terhadap kerajaan negeri yang dipimpin DAP.

Gerakan, ketika menjadi sebahagian daripada BN, memerintah Pulau Pinang sejak 1969 sehingga DAP mengalahkannya pada pilihan raya 2008. 

Sejak itu, pengaruhnya semakin berkurangan di kalangan pengundi.

“DAP berkuasa di Pulau Pinang sejak 2008 tetapi setakat ini, kita belum melihat pelan komprehensif untuk membangunkan Pulau Pinang.

“Dana untuk projek berskala besar sudah diberikan, tetapi pembangunan belum dimulakan. Penduduk Pulau Pinang akan membuat keputusan lagi pada PRU15,” kata Lau.

Beliau juga berkata Gerakan menganggap DAP sebagai musuh politik dan menolak untuk bekerjasama dengan PH.Namun, sebelum perubahan dalam pemerintahan persekutuan setahun yang lalu ketika PN menggantikan PH, Lau mengumumkan sokongan kepada perdana menteri sementara Dr Mahathir Mohamad, yang mengundurkan diri, untuk terus memegang jawatan.

Beliau berubah pendirian tiga bulan kemudian pada Mei, apabila menyatakan sokongan terhadap kerajaan Muhyiddin selepas menilai keseluruhan situasi negara.

“Gerakan memilih PN kerana kita sudah melihat kerajaan yang dipimpin oleh Muhyiddin telah menunjukkan prestasi yang baik dalam memerangi pandemik Covid-19, dengan pelaksanaan perintah kawalan gerakan (PKP) yang tegas oleh Putrajaya.

“Kedua, kerajaan PN berfokus pada rakyat yang seiring dengan kepercayaan dan apa yang ingin dicapai oleh Gerakan. ‘Rakyat’ dalam ‘Parti Gerakan Rakyat Malaysia’ bermaksud kami berdasarkan rakyat.”

Selanjutnya, Lau berkata PN “tidak mengganggu sistem kehakiman, terutama dalam pendakwaan terhadap para pemimpin Umno”.

“Tiada campur tangan sama sekali. Ini selaras dengan Perlembagaan dan badan kehakiman yang dipegang oleh Gerakan sejak penubuhannya.

“Kerana faktor yang disebutkan di atas, kami memutuskan untuk menyertai PN.”

Lau berkata walaupun PN juga dicap oleh pengkritik sebagai “kerajaan pintu belakang”, hakikatnya gabungan itu memegang kuasa.

“Tidak menjadi masalah sama ada kerajaan pintu belakang atau pintu depan selagi melakukan tugas dengan baik.

“Sekurang-kurangnya, kita dapat melihat Muhyiddin tidak mengganggu sistem kehakiman. Prestasi PN sebagai kerajaan terserah kepada rakyat untuk menilai.

“Tetapi di pihak pembangkang, Presiden PKR Anwar Ibrahim sudah bersedia untuk berunding dengan pemimpin Umno yang mempunyai kes mahkamah untuk mendapatkan sokongan mereka.

“Bahkan DAP sanggup bekerjasama dengan Umno demi kepentingannya sendiri,” kata Lau, merujuk kepada krisis menteri besar Perak pada Disember tahun lalu yang menyaksikan ketua DAP Perak, Nga Kor Ming menyatakan kesediaan parti untuk bekerjasama dengan Umno secara bersyarat bagi mengakhiri kebuntuan calon calon jawatan MB. – 13 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen