Tangani perkahwinan kanak-kanak dengan pembaharuan undang-undang, saran Unicef


Raevathi Supramaniam

Unicef menyarankan pembaharuan undang-undang perkahwinan dan pendedahan kepada pendidikan seks bagi menangani perkahwinan kanak-kanak di Malaysia. – Gambar AFP, 9 Mac, 2021.

KAJIAN Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) mengenal pasti tujuh faktor utama berlakunya perkahwinan kanak-kanak di Malaysia.

Antaranya adalah undang-undang yang membenarkan perkahwinan bawah umur, menurut laporan yang dikeluarkan hari ini.

Laporan turut menyatakan tiada pendedahan kepada pendidikan seks, pendapatan isi rumah rendah dan kemiskinan, kurang akses pendidikan serta norma sosial yang membenarkan perkahwinan kanak-kanak merupakan faktor lain yang menyebabkan perkahwinan kanak-kanak.

Begitu juga tiada bimbingan dari ibu bapa mengenai pendidikan seks dan kelonggaran undang-undang bagi perkahwinan bawah umur, kata laporan.

Laporan bertajuk “Unicef Advocacy Brief: Towards ending child marriage in Malaysia” mendapati sehingga 2018 sekurang-kurangnya 1,500 kanak-kanak berkahwin setiap tahun. Bagi tahun 2018 sahaja, seramai 1,856 kanak-kanak dikahwinkan.

Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 menetapkan had umur bagi perkahwinan adalah 18 tahun. Bagaimanapun, kebenaran berkahwin bawah umur 18 tahun dibenarkan dengan bersebab dan mendapat kelulusan menteri besar atau ketua menteri masing-masing, berserta kebenaran dari ibu bapa.

Bagi perkahwinan Islam, had umur yang dibenarkan adalah 16 tahun bagi perempuan manakala 18 bagi lelaki. Bagaimanapun, bagi yang berusia bawah umur dibenarkan, mereka perlu mendapat kelulusan dari Mahkamah Syariah.

Menurut laporan Unicef kesan akibat perkahwinan kanak-kanak berada pada tahap serius.

“Kanak-kanak yang berkahwin mengalami gangguan emosi dan psikologi, serta cenderung tidak ke sekolah, membawa kepada risiko kemiskinanan lebih tinggi akibat kurang pendidikan.

“Bagi kanak-kanak perempuan, mereka lebih terdedah kepada keganasan rumah tangga. Oleh kerana masih kanak-kanak, mereka mungkin mengalami komplikasi semasa mengandung  dan melahirkan anak. Ini menjadi punca utama kematian kana-kanak perempuan berusia antara 15 dan 19 tahun,” kata laporan Unicef.

Kadar kematian bayi juga lebih tinggi dalam kalangan ibu remaja, tambahnya.

Sokongan lebih meluas kepada pendidikan seks, selain maklumat dan khidmat sokongan juga perlu supaya anak muda mempunyai ruang untuk membincangkan isu berkaitan, kata Unicef. – Gambar AFP, 9 Mac, 2021.

Langkah bendung perkahwinan kanak-kanak

Laporan Unicef menyarankan enam langkah bagi membendung perkahwinan kanak-kanak di Malaysia.

Usaha ini memerlukan penglibatan antara lain, kementerian dan agensi berkaitan, pembuat dasar, pemimpin agama dan pertubuhan masyarakat sivil.

Unicef turut menggesa pembaharuan undang-undang dengan menetapkan had umur perkahwinan hanya kepada 18 tahun tanpa mengira jantina, bidang kuasa dan adat.

Laporan selain itu menyarankan syarat wajib untuk mendaftarkan perkahwinan kanak-kanak di Jabatan Pendaftaran Negara, sambil menambah sebuah agensi berpusat diwujudkan bagi mengumpul data, menganalisis dan menyebarkan data berkenaan perkahwinan kanak-kanak ke seluruh negara.

Bagi mengubah norma sosial dan budaya yang membenarkan perkahwinan, Unicef mengesyorkan kerajaan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pihak berkepentingan seperti ibu bapa dan guru.

Selain itu, laporan menyarankan latihan profesional seperti pekerja sosial bagi mencegah, mengenal pasti dan memberi respon jika berlaku perkahwinan kanak-kanak.

Sokongan lebih meluas kepada pendidikan seks, selain maklumat dan khidmat sokongan juga perlu supaya anak muda mempunyai ruang untuk membincangkan isu berkaitan.

Sehubungan itu, laporan Unicef mencadangkan supaya satu kurikulum bersesuaian mengikut umur diwujudkan di sekolah rendah dan menengah.

Unicef juga mengesyorkan penubuhan program bagi memperkasakan remaja perempuan yang meningkatkan kesedaran mengenai pendidikan seks dan pembiakan, serta hak dan tanggungjawab.

Program tersebut juga harus melibatkan remaja lelaki bagi supaya mereka juga sedar tentang hak wanita dan remaja perempuan.

Isu kemiskinan dan akses pendidikan turut disentuh laporan Unicef dalam usaha menangani perkahwinan kanak-kanak. – 9 Mac, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen