Pakar cemuh pelan tindakan perpaduan Perikatan


Alfian Z.M. Tahir

Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dilancarkan kerajan PN tidak akan beri kesan kerana tindakan menterinya tidak selari dengan pelan itu, kata pakar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mac, 2021.

PELAN Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang bermatlamat mewujudkan integrasi nasional akan hanya di atas kertas saja tanpa sebarang kesan, kata pakar.

Bercakap kepada The Malaysian Insight mereka berkata pelan yang dilancarkan pada 15 Februari dengan tindakan menteri dan ahli politik pakatan pemerintah, tidka selari.

Pada masa sama, mereka berkata wujud konflik keperluan “perpaduan Melayu” yang didukung oleh parti-parti Melayu dalam Perikatan Nasional (PN) dengan perpaduan nasional.

Pengarah Program Iman Research Badrul Hisham Ismail berkata parti dalam PN tidak akan dapat berdamai dengan pelan tindakan itu selagi menteri masih bertindak berdasarkan kepada agenda kaum.

“Apa pun pelan perpaduan yang PN ada, ia akan bertentangan dengan fahaman politik parti. Tidak mungkin mereka boleh bergabung dengan pelan tindakan nasional itu,” katanya yang juga pengarah filem.

Beliau memetik contoh Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkenaan keputusannya yang mencetuskan kontroversi apabila membatalkan cuti umum untuk Thaipusam di negeri itu bulan lalu, di mana langkah itu tidak diterima baik oleh pemimpin PN lain.

“Tidak ada sesiapa kecuali MIC yang menyuarakan pembatalan itu. PM diam, tidak cakap apa-apa sementara PAS cuba menutup isu itu.

“Malah sebelum pelan tindakan itu dilancarkan, kita menyaksikan tindakan tidak bertanggungjawab seumpama itu dilakukan oleh ketua negeri,” kata Badrul Hisham.

Sanusi mencetuskan kontroversi apabila mengisytiharkan tidak ada cuti umum untuk Thaipusam di Kedah tahun ini susulan semua aktiviti dibatalkan kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di bawah penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Arahan itu menerima tentangan, termasuk daripada bekas perdana menteri Najib Razak, selain MCA dan MIC iaitu parti kaum India, berkata ia tidak akan menyokong Sanusi pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Badrul Hisham berkata Bersatu, iaitu parti dominan dalam PN, akan akhirnya jadi seperti Umno dalam Barisan Nasional (BN).

“Umno walaupun ia sebahagian daripada BN, sekutu politik pelbagai kaum, terus bercakap tentang ketuanan Melayu.

“Saya fikir, kali ini keadaan akan jadi lebih teruk. Bersatu dan PAS, satu dengan agenda kaum dan satu lagi agenda agama. Tidak ada parti yang lebih dominan daripada dua parti ini,” katanya.

PN ditubuhkan setahun lalu selepas Muhyiddin membuat keputusan membawa partinya – Bersatu keluar Pakatan Harapan (PH) untuk menyertai Umno dan PAS, menyebabkan keruntuhan PH.

Ia kemudian membentuk sekutu dengan beberapa parti dari Sabah dan Sarawak, bersama beberapa ahli daripada ahli Parlimen PKR yang menyokong dan mengikut Azmin Ali.

Kerajaan Muhyiddin yang berusia setahun ini hilang majoriti di Parlimen selepas dua wakil rakyat Umno menarik balik sokongan mereka.

Bagaimanapun, perisytiharan darurat diperkenankan Yang di-Pertuan Agong berkuatkuasa 11 Januari lalu menyelamatkan kedudukan Muhyiddin kerana Parlimen pada masa ini digantung kerana perintah berkenaan.

Ketika pelancaran pelan tindakan perpaduan negara, Muhyiddin berkata ia dibina berdasarkan nilai yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Membentuk satu “identiti negara” yang dibentuk oleh “patriotism, belas kasihan, toleransi, hormat dan tanggungjawab bersama” dan melahirkan masyarakat yang “menghargai dan mengamalkan perpaduan”, katanya. – 2 Mac, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen