Larry Sng keluar PKR bukan sebab peruntukan rakyat, kata penganalisis politik


Desmond Davidson

Ahli Parlimen Julau Larry Sng (kiri) dan Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong (kanan) menyerahkan Akuan Bersumpah mereka kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam. – Gambar facebook, 1 Mac, 2021.

KEKURANGAN dana untuk berkhidmat kepada pengundi bukan alasan sebenar mengapa Larry Sng keluar dari PKR dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata penganalisis politik.

Sebaliknya, ahli Parlimen Julau itu itu sebenarnya gagal mendapat sokongan pengundi dari kalangan peribumi Sarawak, tambah mereka.

Penganalisis politik James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania berkata sumber memaklumkan Sng mengambil keputusan keluar PKR selepas gagal mendapat sokongan masyarakat Dayak dalam parti itu.

“Ada kumpulan masyarakat Dayak yang tidak menyokongnya dalam PKR,” kata Chin kepada The Malaysian Insight.

Sng dilantik sebagai pengerusi PKR Sarawak oleh presiden parti itu Anwar Ibrahim, selepas Baru Bian dipecat bersama 26 lagi ahli termasuk Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin ekoran krisis politik sehinggan Pakatan Harapan tumbang pada Februari tahun lalu.

Semalam, Sng mengesahkan beliau keluar dari PKR berkuatkuasa serta-merta dan menyokong PN.

“Saya tidak dapat berkhidmat kepada rakyat di Julau dengan berkesan kerana ketiadaan dana pembangunan yang amat diperlukan. Menerusi keputusan hari ini, saya yakin dapat menunaikan janji pilihan raya saya kepada pengundi,” kata Sng menerusi kenyataan di Facebook semalam.

Alasan Sng itu bagaimanapun disangkal Chin.

Katanya, Sng tidak disenangi kebanyakan ahli PKR Sarawak yang didominasi Melayu dan Dayak, lebih-lebih lagi kerana hubungannya dengan Gabenor Abdul Taib Mahmud.

Sng menganggotai Kabinet Sarawak ketika negeri itu di bawah pentadbiran Barisan Nasional pimpinan Taib.

Sng dilantik sebagai menteri muda bagi portfolio Perancangan Ekonomi dan Pembangunan Industri (Perancangan) Sarawak pada 2004 hingga 2011. Dilantik ketika usia 25 tahun, Sng merupakan menteri muda termuda dalam sejarah Sarawak. 

Beliau yang dikatakan anak emas Taib juga bercita-cita untuk kembali memegang jawatan dalam Kabinet negeri, kata Chin.

“Dia tiada pilihan. Saya rasa dia pun tahu sukar untuk menyatukan PKR menjelang pilihan raya negeri.”

Chin juga berpendapat tindakan Sng keluar parti satu tindakan bijak.

“Sekurang-kurangnya Sng tidak akan dipersalahkan (atas prestasi buruk parti). Lebih baik angkat kaki sekarang.”

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya pula berkata Sng mengambil keputusan keluar dari PKR hanya untuk mengambil peluang bagi mengukuhkan kedudukannya dalam politik.

Katanya, Sng tahu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan PN Plus memerlukan sokongan majoriti untuk kekal berkuasa.

“Dia nampak peluang di depan mata,” kata Awang Azman.

Keputusan Sng juga bukanlah satu kejutan kerana sejarahnya yang pernah melompat parti sebelum ini. Lebih-lebih lagi khabar angin mengenai pengundurannya sudah tersebar sejak berbulan yang lalu.

Selain dana untuk pembangunan kawasan Julau, Awang Azman tidak terkejut jika Sng juga akan menerima habuan atas sokongannya terhadap Muhyiddin.

Seorang bekas pemimpin PKR Sarawak yang enggan namanya didedahkan juga senada dengan Awang Azman.

“Senang saja. (Sejak) Anwar tak ada peluang jadi perdana menteri, lompatlah.” – 1 Mac, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen