Timbalan menteri Wilayah Persekutuan hilang 3 bulan cetus pertanyaan


LAPORAN yang mendakwa ahli Parlimen Segamat yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Edmund Santhara kini berada di New Zealand sejak tiga bulan lalu mencetuskan persoalan awam berkenaan bekas pimpinan PKR itu.

Bekas perdana menteri Najib Razak merupakan individu yang terbaru tampil mempersoalkan ketiadaan Santhara dan mendakwa bahawa situasi itu akan mengundang kemarahan orang ramai jika tidak dijelaskan.

“Jika laporan ini benar and ianya tidak dijelaskan atau dikendali dengan baik, isu ini bakal mengundang kemarahan yang besar terhadap kerajaan.

“Pada ketika orang biasa tidak boleh merentas daerah atau negeri, seorang wakil rakyat yang sedang dibayar gaji ahli parlimen serta gaji timbalan menteri boleh berulang-alik merentas sempadan negara untuk berada di negara asing bersama keluarganya hampir 3 bulan pula?”

Semalam, Ahli Parlimen Batu P. Prabakaran juga turut mempersoalkan keberadaan Santhara.

Ia berikutan laporan laman web Sarawak Report bahawa Santhara kini berada di Auckland sejak Disember lalu.

Artikel itu mendakwa bahawa ahli keluarga bekas ahli politik PKR itu memiliki kediaman di New Zealand, dan sejak bulan Disember, pegawai kawasan parlimennya melaksanakan tugas-tugas rasmi mewakili beliau.

The Malaysian Insight telah menghubungi Santhara dan kini masih menunggu jawapan daripada beliau.

Sementara itu, Malaysiakini melaporkan bahawa Santhara kembali ke Malaysia untuk beberapa hari sebelum Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari lalu, dan kemudian kembali ke New Zealand.

Sempadan Malaysia ketika masih ditutup untuk perjalanan santai bagi mengekang wabak Covid-19. Hanya perjalanan untuk urusan rasmi kerajaan sahaja yang dibenarkan. – 28 Februari, 2021.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen