Facebook tambah ciri baharu cegah eksploitasi kanak-kanak dalam talian


Facebook komited memerangi eksploitasi terhadap kanak-kanak dalam talian. – Gambar EPA, 24 Februari, 2021.

FACEBOOK pada Selasa berkata akan meningkatkan usahanya menentang ekploitasi kanak-kanak dengan ciri baharu bagi mengesan kandungan sebegitu dan peraturan lebih ketat bagi isu yang melampaui batas.

“Menggunakan aplikasi kami untuk membahayakan kanak-kanak adalah sesuatu menjijikkan dan tidak boleh diterima,” kata ketua keselamatan global Antigone Davis dalam catatan di blognya.

“Kami sedang membangunkan solusi untuk itu, termasuk ciri dan dasar baharu untuk mengurangkan perkongsian jenis kandungan ini.”

Gergasi media sosial itu mengemas kini garis panduannya untuk menjelaskan ia akan menghapus akaun Facebook atau Instagram yang dikhaskan untuk berkongsi gambar kanak-kanak yang disiarkan bersama kapsyen, hashtag atau komen mengandungi kiasan atau simbol tidak bersesuaian.

“Di bawah dasar baru ini, gambar sahaja tidak melanggar peraturan kami, teks yang disertakan dapat membantu kami menentukan dengan lebih baik sama ada kandungan itu melakukan terdapat unsur seksual kanak-kanak dan jika profil, halaman, kumpulan atau akaun berkaitan perlu dibatalkan.”

Ciri baharu yang diuji termasuk pesanan yang keluar sebagai tindak balas kepada istilah carian berkaitan eksploitasi kanak-kanak, memberi amaran mengenai akibat melihat material tersebut dan menyarankan individu berkenaan mendapatkan pertolongan untuk mengubah tingkah laku.

Facebook juga menguji amaran keselamatan yang memaklumkan mereka yang berkongsi kandungan eksploitasi kanak-kanak mengenai kesan bahaya dan akibat undang-undang, menurut Davis.

Selain membuang kandungan yang melanggar peraturan Facebook, hantaran tersebut dilaporkan ke Pusat Nasional Kanak-kanak Hilang dan Eksploitasi (NCMEC).

“Kami menggunakan amaran keselamatan ini untuk membantu mengenal pasti isyarat tingkah laku mereka yang mungkin berisiko berkongsi bahan ini,” kata Davis.

Analisis hantaran eksploitatif kanak-kanak yang melanggar undang-undang yang dikongsi dengan NCMEC akhir tahun lalu mendapati lebih 90% daripadanya sama atau sangat serupa dengan kandungan yang dilaporkan sebelumnya, menurut Facebook.

Hanya enam video merangkumi lebih separuh kandungan yang dilaporkan dalam tempoh itu, kata Davis.

Facebook bekerjasama dengan NCMEC dan kumpulan lain mengumpulkan tujuan pihak yang berkongsi kandungan tersebut.

Facebook mencetuskan kebimbangan kepada badan penguatkuasaan undang-undang dengan rancangannya menyediakan enkripsi end-to-end di semua platform pesanannya dalam langkah yang dikatakan polis membolehkan penjenayah menyembunyikan komunikasi. – AFP, 24 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen