Rakyat mahu kerajaan lanjutkan moratorium 


Ravin Palanisamy

Mereka yang ditemui The Malaysian Insight berkata pihak bank perlu faham nasib pelanggannya sendiri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Februari, 2021.

GESAAN melanjutkan moratorium pinjaman kembali dilaungkan oleh golongan berpendapatan rendah dan sederhana berikutan ekonomi lemah disebabkan pandemik Covid-19.

Dengan perintah kawalan pergerakan (PKP) dilanjutkan di empat negeri, ramai memberitahu The Malaysian Insight moratorium dapat memberikan kelegaan kewangan dalam keadaan ekonomi yang semakin buruk.

Shree, kerani di Kuala Lumpur berkata beliau bergelut untuk membuat pembayaran balik pinjaman sejak suaminya kehilangan kerja di luar negara.

Suaminya seorang jurutera yang bertugas di sebuah syarikat penerbangan di Dubai tetapi diberhentikan kerja pada September lalu kerana pandemik.

Sebagai satu-satunya pencari nafkah dalam keluarga kini, beliau berkata pendapatannya tidak cukup untuk menampung keseluruhan perbelanjaan rumah.

Shree yang berusia 50 tahun berkata moratorium minimum enam bulan akan dapat membantunya stabil dari segi kewangan memandangkan suaminya masih belum mendapat kerja sejak pulang ke tanah air,

“Hanya saya mempunyai pendapatan dalam keluarga dan dengan keadaan saya sekarang, akan sangat membantu jika kerajaan melanjutkan moratorium automatik.

“Wang simpanan saya sudah habis, dan kami menggunakan pampasan suami tetapi itu tidak akan dapat bertahan lama,” kata Shree yang hanya memberikan nama pertamanya.

Shree berkata sudah berhubung dengan bank untuk meminta pelanjutan moratorium, tetapi sebaliknya beliau ditawarkan pelan penstrukturan pinjaman.

Walaupun dengan penstrukturan yang mengurangkan komitmen pinjaman bulanan, Shree berkata beliau tetap tidak dapat bertahan dari segi kewangan.

“Saya diberi pengurangan pinjaman sehingga enam bulan tetapi walaupun begitu, saya rasa tidak akan dapat bertahan.

“Oleh kerana saya mempunyai dua buah kereta, saya ingin menjualnya tetapi agak sukar kerana baru tahun kedua malah saya perlu membuat bayaran tambahan untuk menyelesaikan pinjaman.”

Tahun lalu, kerajaan meluluskan moratorium pembayaran pinjaman secara menyeluruh dari April hingga September 2020.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz pada masa itu berkata Malaysia adalah negara pertama di dunia yang menawarkan bantuan tersebut.

Pada September, ketika moratorium ditarik, Putrajaya mengarahkan bank meluluskan permohonan secara automatik untuk membekukan pembayaran pinjaman oleh pemohon dalam kumpulan berpendapatan bawah 40 (B40) serta perusahaan mikro dengan hutang di bawah RM150,000.

Zafrul berkata mereka yang berada dalam kumpulan berpendapatan sederhana (M40) yang memohon pengurangan ansuran bulanan perlu membuat pengisytiharan kendiri kepada bank, tetapi boleh melakukannya tanpa dokumen. Mereka juga boleh bertanya secara langsung kepada bank mengenai bantuan pembayaran balik.

Mohammad, 30, dari Petaling Jaya, yang mencebur diri dalam perniagaan sewa kereta berkata PKP yang dikenakan pada Januari menjejaskan perniagaannya dan tidak mempunyai pendapatan untuk menampung perbelanjaan bulanan.

Beliau berkata pemberian bantuan oleh kerajaan tidak banyak membantu sebagaimana moratorium pinjaman.

“Saya bukan perniagaan sewa kereta berskala besar tetapi keadaan agak baik apabila perjalanan dibenarkan.

“Sekarang dengan PKP, saya tiada pendapatan sebab orang tiada alasan untuk menyewa kereta.

“Saya masih perlu bayar pinjaman untuk rumah dan empat kereta yang saya gunakan untuk berniaga. Saya minta tolong keluarga mertua saya sejak beberapa bulan lalu tetapi saya tak pasti berapa lama saya boleh bergantung kepada mereka,” kata bapa kepada dua anak itu.

Mohammad, yang menceburkan diri dalam perniagaan sejak meninggalkan kolej, tidak pernah mempunyai pekerjaan profesional.

Beliau tidak mempunyai simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membuat pengeluaran seperti yang dibenarkan oleh kerajaan.

Mohammad berkata bank harus mempertimbangkan untuk memberikan moratorium pinjaman kerana ia adalah penangguhan dan bukan pengecualian, sambil menambah bank harus memahami nasib orang yang merupakan pelanggan mereka.

“Pada masa genting seperti ini, bank mesti faham tak semua perniagaan mantap. Ada orang yang berjuang untuk letak nasi atas meja mereka.

“Yang kami minta hanyalah penangguhan pinjaman, bukan pengecualian pinjaman,” katanya. – 24 Februari, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen