Wang Yi kutuk fitnah terhadap keadaan di Xinjiang


Menteri Luar China, Wang Yi mengulangi pendirian negara itu bahawa kebebasan beragama penduduk pelbagai etnik di Xinjiang dijamin di sisi undang-undang. – Gambar EPA, 23 Februari, 2021.

CHINA mengutuk tindakan pihak tertentu yang melontarkan fitnah dan tohmahan berhubung Xinjiang serta menyifatkan tindakan itu bermotif politik dan  berniat jahat yang terbit daripada kejahilan serta prejudis.

Menteri Luar, Wang Yi mengulangi pendirian China bahawa kebebasan beragama penduduk pelbagai etnik di Xinjiang dijamin di sisi undang-undang.

Dakwaan wujudnya pembersihan etnik, buruh paksa atau penindasan agama di wilayah itu adalah bohong belaka.

Ketika berucap pada mesyuarat peringkat tinggi sesi ke-46 Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) secara maya pada Isnin, beliau menegaskan isu Xinjiang adalah mengenai usaha membanteras keganasan dan faham pemisah.

Xinjiang melaksanakan operasi menghapus ekstremisme, sejajar dengan Pelan Tindakan Mencegah Ekstremisme PBB.

Kesungguhan itu akhirnya terbalas apabila tiada kes keganasan dilaporkan di sana selama lebih empat tahun.

Menurut Wang, wilayah berkenaan kini makmur dan stabil, manakala penduduk tempatan hidup aman damai.

Beliau turut menjemput pesuruhjaya tinggi PBB bagi hak asasi melawat sendiri  Xinjiang untuk meninjau keadaan sebenar di wilayah itu. – Bernama, 23 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen