Asas ekonomi lemah bila GST mansuh, kata Najib


Najib berkata, melalui hasil kutipan cukai GST, negara tidak perlu berhutang dan masih berupaya memulangkan kembali kepada rakyat dalam bentuk bantuan tertentu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Februari, 2021.

MANA-mana parti yang membentuk kerajaan sekarang akan berhadapan kesukaran kerana asas ekonomi negara yang lemah, kata Najib Razak.

Bekas perdana menteri berkata, ia berpunca daripada pemansuhan cukai barang dan perkhidmatan (GST) oleh Pakatan Harapan (PH) yang mengakibatkan kerajaan hilang sumber pendapatan bernilai antara RM25 hingga RM30 bilion.

“Sesiapa menjadi kerajaan pun susah masa sekarang, salah satu daripada keadan yang tak menyebelahi kerajaan sebab GST dimansuhkan. 

“GST beri hasil tambahan lebih kurang RM25 hingga RM30 bilion.  Bila asas kutipan hasil kita lemah dan menguncup, kerajaan nak tolong rakyat kena tambah hutang.

“Hutang dah lebih 60% daripada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar), sekarang hutang dah mencanak naik. Ini yang saya katakan asas ekonomi Malaysia lemah,” kata Najib.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata demikian ketika sesi wawancara bersama Astro Awani yang disiarkan secara langsung malam tadi.

Pentadbiran Najib memperkenalkan GST pada April 2015 dengan kadar 6% namun cukai itu dimansuhkan oleh Pakatan Harapan (PH) dan kembali menggunakan sistem cukai barang dan perkhidmatan (SST) pada 2018.

Najib berkata, melalui hasil kutipan cukai GST, negara tidak perlu berhutang dan masih berupaya memulangkan kembali kepada rakyat dalam bentuk bantuan tertentu.

“Bila lemah siapa jadi kerajaan amat mencabar sekarang. Kalau kerajaan boleh buat moratarium dan pengeluaran KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) itu akan beri kelegaan kepada rakyat,” katanya.

Dalam wawancara itu, ahli Parlimen Pekan itu juga menyuarakan kebimbangan projek keretapi laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) bakal menjadi beban masa hadapan kepada kerajaan.

Ini kerana, katanya, konsep asal pembangunan projek itu diubah apabila tidak lagi melalui Singapura. 

“Kita nak hubungkan antara dua ekonomi, kita dan Singapura yang merupakan ekonomi maju, kalau boleh integrasikan ini limpahan ekonomi maju akan memberi rangsangan kepada ekonomi kita.

“Sebab itu keretapi laju bukan kereta laju, sebab inilah tarikannya, bila konsepnya diubah saya khuatir projek ini menjadi projek defisit, tiap-tiap tahun kena cari subsidi tambahan untuk membiaya projek ini,” kata Najib.

Dalam kenyataan di laman Facebook miliknya susulan pembatalan projek itu, Najib berkata, HSR akan digantikan dengan Projek Kereta Api Kelajuan Sederhana (MHSR) Kuala Lumpur-Johor Bahru (KL-JB).

Katanya, kos pembinaan bagi MHSR KL-JB juga dilaporkan antara RM63 bilion hingga RM65 bilion, tidak jauh beza dengan kos asal pembinaan HSR KL-Singapura sebanyak RM60 bilion hingga RM68 billion.

Disebabkan pembatalan itu juga Malaysia terpaksa membayar pampasan kepada Singapura.

HSR adalah antara projek mega sewaktu pentadbiran Najib, termasuk juga Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang kini masih dalam pembinaan. – 22 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen