Bersatu minta Umno segera buat keputusan, kata sumber


The Malaysian Insight

Bersatu minta Umno menyatakan pendiriannya untuk ia memuktamadkan hala tuju dan strategi Perikatan Nasional.– Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Februari, 2021.

BERSATU meminta Umno segera membuat keputusan mengenai kerjasama politik mereka, menuju pilihan raya umum akan datang (PRU15) yang dijanjikan sebaik saja perintah darurat ditarik balik dijangka Ogos ini, kata sumber kedua-dua parti.

Bersatu membuat permintaan itu untuk ia memuktamadkan hala tuju dan strategi Perikatan Nasional (PN) menjelang PRU15, kata sumber.

The Malaysian Insight difahamkan permintaan itu disampaikan oleh pucuk pimpinan Bersatu kepada Umno dalam satu perbincangan pada awal minggu ini, yang turut disertai oleh pemimpin PAS.

“Dalam mesyuarat itu, pemimpin kanan Bersatu minta Umno buat keputusan sama ada bekerjasama atau tidak untuk PRU15,” kata sumber Bersatu kepada The Malaysian Insight.

Sumber Umno menyifatkan permintaan itu sebagai “kata dua”, namun sumber Bersatu menjelaskan ia tidak dimaksudkan sebagai ultimatum atau amaran yang menetapkan batas masa untuk membuat keputusan.

“Kena buat keputusan cepat. Lagi lambat pilihan raya makin dekat. Tunggu habis darurat,” jelas sumber.

Perintah darurat yang diisytihar pada 11 Januari berkuat kuasa sehingga 1 Ogos, atau lebih awal bergantung pada keadaan penularan pandemik Covid-19.

Perkembangan ini muncul ketika tiga badan akademik dan profesional meramalkan kerjasama Bersatu, PAS dan Umno boleh menang sehingga 162 kerusi, mengembalikan kuasa dua pertiga di Dewan Rakyat yang hilang sejak pilihan raya umum 2008.

Kajian oleh Pertubuhan Intelektual Negara (Pintar), Ikatan Ilmuwan Nasional (Ilmuwan) dan badan penyelidikan QGenAnalysts (QGA) dibuat antara Jun hingga Disember 2020.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan sebelum ini mengesahkan 118 daripada 190 bahagian Umno yang bersidang pada awal Januari membuat ketetapan mahu Umno tidak bekerjasama dengan Bersatu dalam PRU15.

Keputusan dibuat kerana ahli dan pemimpin Umno merasakan parti itu dipinggirkan oleh Bersatu dalam gabungan kerajaan PN yang menggantikan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sejak Mac 2020.

Majlis Tertinggi Umno dijangka akan bermesyuarat hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Februari, 2021.

MT Umno mesyuarat hari ini (Jumaat)

The Malaysian Insight difahamkan Umno akan membincangkan permintaan Bersatu itu dalam mesyuarat berasingan biro politik dan MKT, hari ini.

“Mungkin juga bincang persiapan untuk PRU15,” tambah seorang sumber.

Sekurang-kurangnya dua sumber Umno yang enggan disebut nama mereka mengesahkan ada mesyuarat berkenaan ditetapkan pada Jumaat. Seorang lagi sumber berkata mesyuarat ini asalnya dijadual pada 14 Februari tetapi dibawa ke hari ini, kerana perintah kawalan pergerakan sepatutnya berakhir semalam.

Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin yang dihubungi bagaimanapun berkata mesyuarat “mungkin ada”, dan “mungkin” membincangkan isu kerjasama dengan Bersatu.

“Ada mesyuarat tapi tak tahu lagi jadi atau tak jadi,” katanya, mengingatkan PKP yang masih berkuatkuasa di Kuala Lumpur sehingga 4 Mac.

The Malaysian Insight difahamkan isu kerjasama Bersatu, PAS, dan Umno berbangkit dalam perbincangan pemimpin kanan ketiga-tiga parti pada awal minggu ini, yang antara lain membincangkan persiapan untuk pilihan raya.

PAS setakat ini kekal dengan pendirian untuk mengukuhkan kerajaan PN bersama Bersatu pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, dan pada masa sama, memperkasa kerjasamanya dengan Umno dalam Muafakat Nasional (MN).

Presiden PAS Abdul Hadi Awang juga sebelum ini mengumumkan pandangannya mahu Umno dan Bersatu bersama dalam pilihan raya akan datang untuk memastikan pertembungan satu lawan satu dengan PH dan sekutunya.

Umno dan PAS membentuk MN pada September 2019, ketika dua parti Melayu itu masih sebagai pembangkang manakala Bersatu sebahagian daripada kerajaan dalam PH.

Selepas percaturan politik pada hujung Februari tahun lepas, Muhyiddin menarik Bersatu keluar dari PH untuk membentuk gabungan kerajaan baharu bersama Umno dan PAS, dan mendapat sokongan parti-parti lain dari Sabah dan Sarawak.

Bersatu dan PAS kemudian mendaftarkan PN sebagai parti politik pada awal Ogos 2020. Umno bagaimanapun bertegas tidak akan menyertai parti baharu itu sebaliknya kekal dalam Barisan Nasional (BN).

Dalam mesyuaratnya pada 6 Januari lepas, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno menyerahkan isu kerjasama politiknya menuju PRU15 untuk diputuskan oleh perwakilan dalam perhimpunan agung tahunan parti.

Bagaimanapun perhimpunan yang dijadual pada hujung Januari lalu ditangguh ke satu tarikh yang belum ditetapkan selepas kerajaan menguatkuasakan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak 13 Januari lepas.

Ini adalah perhimpunan agung tahunan Umno bagi tahun 2020 yang tertangguh akibat sekatan pencegahan penularan Covid-19 sejak November tahun lalu.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan sebelum ini berkata Umno akan mengadakan perhimpunan agung tahunannya secara dalam talian jika PKP dan perintah darurat masih berjalan.

PKP yang sepatutnya berakhir semalam dikekalkan di Kuala Lumpur dan tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, dan Johor sehingga 4 Mac ini, sementara di negeri lain dilonggarkan menjadi PKP bersyarat manakala Perlis negeri tunggal di bawah PKP pemulihan. – 19 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen