Perhimpunan Umno dalam talian kalau masih PKP, darurat, kata Ahmad Maslan


Ahmad Maslan menganggap penangguhan ini adalah cabaran yang akan Umno hadapi, ketika Malaysia menyaksikan purata hampir 4,000 sehari dalam tempoh 15 hari sehingga semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Januari, 2021.

UMNO akan mengadakan perhimpunan agung tahunannya secara dalam talian jika perintah kawalan pergerakan dan perintah darurat masih berjalan, kata setiausaha agung parti Ahmad Maslan.

Umno sudah dua kali menangguhkan perhimpunan agung tahunannya bagi tahun lalu susulan sekatan yang dikenakan oleh Putrajaya bagi membendung penularan pandemik Covid-19. 

“Mesyuarat Pengurusan dan Majlis Kerja Tertinggi Umno akan tetapkan bila akan diadakan perhimpunan agung. 

“Jika PKP dan darurat masih ada, kami akan buat juga secara maya. Kaedahnya akan diberitahu,” kata Ahmad di Twitter.

Menurut Ahmad, pemimpin Umno dari 191 bahagian sepatutnya berada di Kuala Lumpur pada hujung minggu ini berkumpul di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Perhimpunan itu ditetapkan berlangsung semalam dan hari ini, selepas ditangguhkan pertama kali pada Oktober tahun lalu. Perhimpunan agung itu asalnya ditetapkan pada 27 dan 28 November 2020.

Ahmad menganggap penangguhan ini adalah cabaran yang akan Umno hadapi, ketika Malaysia menyaksikan purata hampir 4,000 sehari dalam tempoh 15 hari sehingga semalam.

Bersatu sebelum ini mengadakan perhimpunan agung tahunannya secara maya pada 28 November lalu.

Dalam pada itu, Ahmad menganggap penangguhan ini adalah cabaran yang akan Umno hadapi, ketika Malaysia menyaksikan purata hampir 4,000 sehari dalam tempoh 15 hari sehingga semalam.

Sejak dua hari lalu, kes jangkitan baharu Covid-19 mencecah rekod harian tertinggi sejak kes pertama dikesan setahun lalu, iaitu 5,725 pada Jumaat dan 5,728 semalam. 

Selepas perhimpunan agung yang tertangguh ini, Umno akan mengadakan satu lagi perhimpunan bagi tahun ini yang juga akan memilih barisan baru kepimpinannya bagi penggal 2021-2023 yang akan mengharungi pilihan raya.

Perhimpunan agung Umno ini juga akan berlangsung ketika ada desakan daripada sebahagian pimpinan di akar umbi yang mahu presiden Ahmad Zahid Hamidi berundur segera.

Ia juga jadi perhatian kerana akan memutuskan hala tuju politik parti menuju pilihan raya umum akan datang.

Tiga usul dijangka akan dibawa ke perhimpunan itu iaitu memutuskan kerjasama dengan Bersatu, mengukuhkan kerjasama dengan PAS dan mendesak pilihan raya umum sebelum akhir April, sekiranya keadaan Covid-19 reda.

Usul-usul itu diputuskan oleh 190 bahagian yang bermesyuarat pada awal bulan ini.

Ahmad sebelum ini mengesahkan 118 daripada 190 bahagian Umno yang bersidang pada awal bulan ini membuat ketetapan mahu Umno tidak bekerjasama dengan Bersatu dalam PRU15. – 31 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen