Dapatkah permohonan maaf Dr Mahathir bantu Pakatan terus maju?


Muzliza Mustafa

Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad semalam memohon maaf atas kesalahan lampaunya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Disember, 2017.

PERMOHONAN maaf Dr Mahathir Mohamad atas segala perbuatannya ketika menjadi perdana menteri boleh dianggap sebagai rahmat untuk Pakatan Harapan (PH) dan menyelesaikan isu yang menyekat perkembangan gabungan itu selama ini – rekodnya sebagai seorang autokrat.

Penganalisis bebas Tan Ah Chai ia membolehkan PH mempromosi agenda reformasinya tanpa dibebankan dengan legasi Dr Mahathir – yang selama ini menyekat kebebasan institusi negara.

Sementara itu, aktivis PH menganggap permohonan maaf itu dilakukan dengan niat baik walaupun Dr Mahathir menegaskan ia bukan pengakuan salah tetapi hanya mengikut adat orang Melayu minta maaf.

Bagi mereka, minta maaf atau tidak, Dr Mahathir sudah membuktikan komitmennya kepada matlamat PH dengan membentuk parti politik dan menyertai sekutu untuk menewaskan kerajaan pemerintah Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Permohonan maaf itu mewakili perpisahan dengan masa silamnya dalam Umno dan BN tanpa menjejaskan kedudukannya sebagai seseorang yang tahu bagaimana Umno bergerak dan dengan itu berupaya menamatkan hegemoni Umno,” kata Tan kepada The Malaysian Insight.

Ia juga membantu melegakan perasaan generasi reformasi dan penyokong tegar Anwar Ibrahim yang masih sakit hati dengan Dr Mahathir kerana memenjarakan Anwar pada 1998.”

Ia termasuk Adun Hung Klang Saari Sungib dan bekas veteran reformasi Badaruddin Ismail.

Kedua-dua memaafkan Dr Mahathir, yang menahan ramai aktivis pada 1998 kerana menyertai bantahan ke atas pemenjaraan dan pemecatan Anwar dari jawatan timbalan perdana menteri.

Saari berkata walaupun Dr Mahathir tidak pernah meminta maaf atas kesalahannya, beliau serius dalam menjatuhkan BN.

“Beliau kritik Perdana Menteri Najib Razak. Beliau keluar Umno. Beliau jumpa Anwar dan tubuh parti baharu. Ia menyebabkan BN terjejas teruk,” kata Saari, yang kini pemimpin Amanah Selangor.

Terus bergerak

Dalam satu acara semalam, buat julung kalinya Dr Mahathir yang pernah digelar diktator kerana tindakan keras terhadap pembangkang ketika menjadi perdana menteri, memohon maaf atas kesalahannya pada masa lalu.

Dr Mahathir berkata beliau terbabit dalam politik sejak 1945, dan banyak membuat kesilapan.

Beliau berkata demikian atas kapasitinya sebagai pengerusi Bersatu, parti yang turut berada dalam gabungan pembangkang PH.

Katanya, keputusan untuk menyertai pembangkang dikritik hebat kerana beliau kini bekerja dengan beberapa individu yang pernah dipenjarakannya ketika menjadi perdana menteri.

Pemerhati turut mengkritik parti seperti PKR, DAP dan Amanah kerana bekerjasama dengan Mahathir kerana individu tersebut bertanggungjawab menghilangkan taring institusi kehakiman, media hilang taring serta tokoh yang memperjuangkan kebebasan bersuara.

Beberapa jam selepas memohon maaf, Dr Mahathir semalam berkata ia hanyalah adat orang Melayu untuk minta maaf, dan soal sama ada beliau buat salah atau tidak adalah perkara lain.

Penganalisis berkata permohonan maaf itu akan membantu melonjakkan PH tentang sumbangan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri dari 1981 hingga 2003. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Disember, 2017.

Badaruddin, yang juga pernah menjadi tahanan ISA, menerima permohonan maaf Dr Mahathir.

“Ini bukan drama. Dia sudah minta maaf. Apa yang perdana menteri buat sekarang lebih teruk berbanding Dr Mahathir ketika dulu. Sekarang rakyat terpaksa catu makanan. Mereka perlu berhutang untuk makan. Rakyat tidak mampu bayar bil.

“Akhirnya, selepas memaafkan dia, anda lebih tenang. Sebagai manusia, saya maafkan dia kerana menahan saya di bawah ISA,” kata Badaruddin.

Sementara itu, Tan pula melihat permohonan maaf tersebut akan membantu PH mempromosi sumbangan Dr Mahathir sebagai perdana menteri dari 1981 hingga 2003.

PH kemudian boleh bercakap tentang sumbangan Dr Mahathir kepada negara tanpa perasaan bimbang, seolah-olah segala kesilapan lalu beliau sudah terhapus.

“Kerana Dr Mahathir sudahpun minta maaf atas kesalahan itu.”

Tambahnya, permohonan maaf itu juga mengukuhkan lagi usaha untuk menjadikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri sementara.

PH pada masa ini mempertimbangkan idea melantik Dr Mahathir menjadi perdana menteri sementara apabila gabungan perti itu berjaya menawan Putrajaya dalam PRU14.

Bagaimanapun, idea itu masih belum diterima sepenuhnya oleh PKR yang menetapkan tiga syarat untuk dipenuhi oleh Dr Mahathir iaitu – melantik Anwar menjadi perdana menteri dalam tempoh setahun selepas PH menang PRU14, memberi kerusi Parlimen paling banyak kepada PKR di semenanjung Malaysia dan melaksana reformasi ke atas insitusi. – 31 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • pakatan akan terus mundur selagi ada mereka2 yg mempunyai kepentingan peribadi saja..kesefahaman memang tidak akan pernah wujud dlm pakatan..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amer Farid · Ulasan