Jangan fitnah mufti, tweet Azmin selepas ucapan Dr Mahathir


Menteri Besar Selangor Azmin Ali tidak menamakan Dr Mahathir, tetapi tweetnya tersiar selepas bekas perdana menteri itu membuat ucapan penggulungan pada mesyuarat tahunan Bersatu yang diadakan di Shah Alam hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Disember, 2017.

MUFTI tidak sepatutnya difitnah dan digunakan untuk kepentingan politik, kata Menteri Besar Selangor Azmin Ali malam ini, beberapa jam selepas pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamed menyalahkan mereka kerana gagal menghalang tragedi Memali.

Azmin yang juga timbalan presiden PKR, tidak menamakan Dr Mahathir, tetapi tweetnya tersiar selepas bekas perdana menteri itu membuat ucapan penggulungan pada mesyuarat tahunan Bersatu yang diadakan di Shah Alam hari ini. 

“Tidak wajar mana-mana individu mempersendakan dan memperlekehkan mufti kerana kepentingan politik. Kita boleh berbeza pandangan tapi jangan aibkan orang lain. 

“Memfitnah mufti adalah satu tindakan keterlaluan. Taubat nasuha. Hentikan sandiwara,” tweet Azmin.

 

Terdahulu Dr Mahathir hari ini berkata tragedi Memali tidak akan berlaku sekiranya mufti menegur Amanat Hadi, iaitu ucapan presiden PAS Abdul Hadi Awang pada 1981 yang didakwa mendorong penyokong PAS untuk menentang Umno dan Barisan Nasional dengan keganasan. 

Insiden itu menyaksikan orang awam dan anggota polis terbunuh, yang mana ia berlaku ketika Dr Mahathir menjadi perdana menteri. 

Beliau berkata mufti seakan bersetuju dengan ucapan Hadi kerana mereka hanya berdiam diri.

“Saya ingin bertanya kepada mufti-mufti yang menjadi penasihat kepada raja kita, apabila PAS dakwa bahawa orang yang tidak menyertai PAS adalah kafir, kenapakah mufti-mufti tidak membetulkan kenyataan mereka?

“Apa yang kita lihat ialah peristiwa Memali yang mana pengikut Ibrahim telah bunuh empat orang polis kerana pada mereka polis ini adalah kafir yang bekerja dengan kerajaan kafir.

“Inilah hasil, daripada fatwa yang dikeluarkan oleh orang politik yang tidak ditangkis oleh mufti-mufti, ” kata Dr Mahathir. – 30 Disember, 2017.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen