Malaysia tambah dos vaksin Covid-19 kepada 66.7 juta


Ragananthini Vethasalam

Malaysia menambah pembelian vaksin Pfizer-BioNTech kepada 32 juta dos, bagi mencukupkan untuk mengimunisasi 50% penduduk. – Gambar EPA, 16 Februari, 2021.

MALAYSIA akan menerima sejumlah 66.7 juta dos vaksin melalui perjanjian perolehan dengan lima pengeluar, menurut data daripada Buku Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Data terbaru menunjukkan ia mencukupi untuk mengimunisasi “109.65% populasi”.

Pada akhir 2020, anggaran penduduk Malaysia adalah 32.73 juta.

The Malaysian Insight juga menghubungi Menteri Kesihatan Dr Adham Baba untuk meminta penjelasan mengenai maksud peratusan bagi penduduk dan masih menunggu maklum balasnya.

Angka 66.7 juta adalah terkini selepas pengumuman Putrajaya sebelumnya yang ia memperoleh cukup vaksin untuk mengimunisasi 26.5 juta orang atau kira-kira 80% penduduk.

Ini termasuk 12.8 juta dos vaksin Pfizer-BioNTech bagi mengimunisasi 20% populasi.

Selain itu, Putrajaya juga komited untuk memperoleh 12.8 juta dos vaksin AstraZeneca, separuh daripadanya akan dibeli melalui kemudahan Covax.

Data yang disediakan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pada Disember menunjukkan jumlah dos yang diperoleh dari lima pengeluar tersebut berjumlah 49.5 juta.

Namun, menurut data terkini dalam buku panduan yang dikeluarkan hari ini, Malaysia menambah pembelian vaksin Pfizer-BioNTech kepada 32 juta dos, bagi mencukupkan untuk mengimunisasi 50% penduduk.

Perolehan untuk vaksin AstraZeneca dikekalkan kepada 12.8 juta dos yang akan merangkumi 20% populasi.

Kerajaan juga akan membeli 12 juta dos daripada Sinovac yang berpusat di China untuk 18.75% populasi dan 3.5 juta dos lagi akan diperoleh daripada pengeluar China lain, CanSinoBIO.

Vaksin CanSinoBio akan mencukupi untuk 10.9% populasi.

Selain itu, kerajaan juga akan membeli 6.4 juta dos vaksin Sputnik V, mencukupi untuk menampung 10% populasi daripada pengeluar Rusia.

Semua vaksin kecuali CanSinoBio akan diberikan dalam dua dos. Hanya satu dos vaksin akan diberikan.

Sebanyak RM3 bilion diperuntukkan di bawah Belanjawan 2021 untuk pemerolehan vaksin.

Negara akan menerima kumpulan vaksin Pfizer-BioNTech pertama pada 21 Februari.

Program imunisasi Covid-19 kebangsaan akan bermula pada 26 Februari, umum Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini.

Vaksinasi tidak diwajibkan dan akan dilakukan secara sukarela. – 16 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen