Satu dos vaksin untuk bekas pesakit Covid-19 perlu kajian, kata KP kesihatan


Ragananthini Vethasalam

Perancis negara pertama mengesyorkan individu yang sudah pulih daripada Covid-19 diberi satu dos vaksin. – Gambar EPA, 15 Februari, 2021.

LEBIH banyak kajian perlu dijalankan bagi menentukan sama ada vaksin perlu diberi kepada individu yang pulih daripada virus Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

“Perkara ini memang sedang dibincangkan. Mungkin memerlukan lebih banyak kajian untuk menentukannya,” beliau memberitahu The Malaysian Insight.

Dr Noor Hisham berkata individu yang menerima dua dos vaksin Covid-19 akan dilindungi dari jangkitan virus disebabkan oleh jumlah antibodi yang tinggi dalam tubuh mereka.

Oleh itu, kajian membujur (longitudinal study) diperlukan, katanya. Kajian membujur bertujuan untuk mengetahui paras antibodi neutralisasi (imuniti) di dalam darah yang boleh menghalang virus Covid-19 daripada menjangkiti pesakit yang pernah dijangkiti sebelum ini.

“Berdasarkan ini barulah kita boleh tentukan sama ada bekas pesakit Covid-19 perlu diberi vaksin.

“Terdapat beberapa cadangan supaya bekas pesakit diberi satu dos untuk meningkatkan semula sistem imun mereka,” jelas Dr Noor Hisham.

Kementerian Kesihatan (KKM) pada Januari berkata vaksin yang dibangunkan Institut Biologi Perubatan Akademi Sains Perubatan Cina (IMBCAMS), yang digunakan dalam ujian klinikal pertama di Malaysia, hanya akan diberi kepada individu berumur 18 tahun ke atas dan tidak pernah dijangkiti Covid-19.

Perancis negara pertama yang mengesyorkan individu yang sudah pulih dari Covid-19 diberi satu dos vaksin.

Pihak berkuasa kesihatan awam Perancis minggu lalu berkata oleh kerana mereka yang pulih telah membangunkan tindak balas imuniti serupa dengan vaksin, maka satu suntikan mungkin sudah memadai.
 
Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) juga minggu lalu berkata laporan awal yang dikeluarkan Afrika Selatan menunjukkan terdapat bekas pesakit Covid-19 dijangkiti semula varian Covid-19 yang lebih mudah menular.

Mengulas perkara ini, Dr Noor Hisham mengesahkan terdapat kes jangkitan semula, termasuk di Singapura baru-baru ini.

Di Malaysia, satu kes dilaporkan di Sabah yang berkemungkinan jangkitan semula, tambah beliau.

“Jangkitan semula mungkin berlaku jika individu yang dijangkiti kali pertama tidak mempunyai antibodi yang cukup, oleh itu tidak dapat memberi perlindungan untuk kali kedua, jadi mereka akan dijangkiti semula.”

Tambah Dr Noor Hisham, oleh kerana virus sentiasa bermutasi maka wujud kemungkinan jangkitan semula. – 16 Februari, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen