Lebih baik tumpu sekatan jalan raya di sempadan negeri, kata Najib


Najib Razak mempersoalkan bagaimana anggota polis mampu mengawal kelancaran pergerakan trafik selepas kerajaan membenarkan hampir semua industri dibuka semula. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Februari, 2021.

SEKATAN jalan raya kini lebih baik menumpu kepada kawalan di sempadan negeri berbanding dalam bandar, kata bekas perdana menteri Najib Razak, susulan kerajaan membenarkan hampir semua industri dibuka semula.

Beliau mempersoalkan bagaimana anggota polis mampu mengawal kelancaran pergerakan trafik dengan kelonggaran di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Tertanya-tanya dalam keadaan ini, bagaimana pula pihak polis di roadblock (sekatan jalan raya) dalam bandar mampu kawal dan pantau pergerakan trafik yang semakin tinggi ini?

“Adakah sudah tiba masa untuk hentikan roadblock dalam bandar agar trafik lebih berjalan lancar?

“Polis boleh diagihkan dari roadblock dalam bandar untuk lebih tertumpu kepada kawalan sekatan rentas negeri dan diberikan masa untuk rehat seketika setelah mengawal tanpa henti selama sebulan,” katanya di Facebook.

Polis mengadakan sekatan jalan raya di kawasan bandar sejak PKP kedua dilaksanakan 13 Januari lalu.

Sekatan menyebabkan kesesakan selepas kerajaan membenarkan perniagaan kembali beroperasi.

Perjalanan rentas negeri bagaimanapun masih tidak dibenarkan. – 13 Februari, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen