Ramkarpal gesa siasat dakwaan hakim terima rasuah


Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh berkata dakwaan kegiatan rasuah dalam badan kehakiman yang didedahkan seorang bekas majistret mesti disiasat segera. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Februari, 2021.

KETUA hakim negara mesti segera menyiasat dakwaan kegiatan rasuah dalam badan kehakiman yang didedahkan seorang bekas majistret, kata Ramkarpal Singh.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu menulas laporan Malaysiakini berkenaan bekas majistret Firdaus Ramlan yang disabitkan bersalah atas tuduhan rasuah pada 2010.

Firdaus memceritakan bagaimana beliau ditawarkan rasuah melalui orang tengah semasa menjadi majistret, malah berkata “sistem yang sudah ada” itu diketahui oleh semua orang.

Ramkarpal, yang juga pengerusi Biro Guaman Kebangsaan DAP, berkata pendedahan Firdaus amat serius dan perlu diambil perhatian oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.

“... praktis seperti ini telah wujud lama sebelum beliau memegang jawatan sebagai majistret yang mana menimbulkan persoalan sama ada praktis tersebut hanya wujud di Mahkamah beliau sahaja ataupun seluruh negara.

“Persolan-persoalan lain juga adalah sama ada amalan/praktis seperti itu wujud di Mahkamah Rendah sahaja ataupun wujud juga di Mahkamah yang lebih tinggi di seluruh negara.

“Amat penting untuk penyiasatan dilakukan di mahkamah di seluruh negara dan ini hanya dapat dilakukan dengan kerjasama SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), yang mesti memainkan peranannya untuk menjauhkan amalan rasuah daripada institusi yang diamanahkan untuk memeranginya.

“Saya menggesa ketua hakim negara untuk segera memulakan penyiasatan terhadap dakwaan Firdaus dan supaya SPRM bertindak segera, mungkin dengan melancarkan operasi rahsia di Mahkamah untuk memastikan kebenaran dakwaannya,” kata Ramkarpal dalam satu kenyataan.

Firdaus merupakan majistret di Kelantan ketika ditahan pada 2009 atas tuduhan rasuah dan dihukum penjara lima tahun selepas disabitkan bersalah.

Dalam wawancaranya bersama Malaysiakini, Firdaus menceritakan bagaimana beliau didekati “broker” ketika melaporkan diri sebagai majistret.

“Ini adalah orang tengah antara saya dan penjahat. Ketika saya melapor bertugas untuk pertama kalinya, mereka membayar makanan saya dan menyediakan tempat untuk saya tinggal,” katanya.

Ketika itu, Firdaus menerima gaji permulaan sebanyak RM1,500 sebulan, tetapi tidak menyentuh satu sen pun gajinya kerana boleh mendapat sehingga RM10,000 bagi setiap kes.

Beliau ditahan oleh SPRM selepas pakatannya bersama suspek kes dadah dan polis gagal. – 6 Februari, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen