Azmin perlu buktikan bebas skandal seks, kata Pemuda PKR


Menteri Kanan Mohamed Azmin Ali semalam mengaitkan isu perbuatan tidak bermoral pemimpin PKR sebagai alasan meninggalkan parti tersebut.– Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Januari, 2021.

MENTERI Kanan Azmin Ali perlu membuktikan dirinya bebas dari tuduhan skandal seks luar tabii sebelum mengaitkan pemimpin lain dengan tuduhan serupa, kata pemimpin Pemuda PKR.

Naib ketua pergerakan itu, Syed Badli Shah Syed Osman berkata Azmin sepatutnya membuktikan beliau tidak terlibat dengan skandal seks yang didakwa melalui rakaman video sejak Jun 2019 itu.

“Azmin Ali tidak layak menuduh orang lain dengan tuduhan tidak bermoral sedangkan beliau sendiri terkait dengan pelbagai masalah moral.

“Pengkhianatan terhadap PKR dan pengundi Gombak adalah salah satu bukti yang beliau bukan manusia yang bermaruah,” katanya.

Syed Badli berkata demikian bagi menjawab kenyataan Azmin semalam yang mengaitkan isu perbuatan tidak bermoral pemimpin PKR sebagai alasan meninggalkan parti tersebut.

Perkara itu disebut Azmin sewaktu menjawab saman dikemukakan PKR dan pengundi kawasan parlimen Gombak ke atas menteri berkenaan, yang dipertikai Syed Badli.

Pengundi berkenaan mengemukakan saman kerana mendakwa Azmin melanggar janji yang dibuat menjelang pilihan raya umum ke-14 dan melanggar tanggungjawab fidusiari.

Mengulas lanjut, Syed Badli berkata, siasatan ke atas video seks tersebut masih tidak selesai, katanya yang juga menggesa polis menjelaskan status siasatan terbabit.

“Justeru itu saya ingin bertanya kepada ketua polis negara apakah status kes itu kini? Setahun berlalu adakah polis masih gagal menemui sebarang bukti untuk mengesahkan identiti pelaku?

“Saya menggesa pihak berkuasa untuk mengumumkan status terkini kes terbabit dan saya menyeru agar pihak berkuasa tidak berat sebelah untuk melindungi mana-mana individu berpengaruh,” katanya.

Peguam Negara Tommy Thomas pada Januari 2020 mengumumkan tiada pendakwaan jenayah akan dikenakan terhadap mana-mana pihak berhubung rakaman video seks mengaitkan Azmin.

Menurutnya siasatan pakar dalam dan luar negara tidak dapat mengenal pasti dengan muktamad identiti pelakunya.

Thomas bagaimanapun berkata kes boleh dibuka semula sekiranya ada bukti baru.

Kenyataan itu dibuat selepas CyberSecurity Malaysia merumuskan bahawa rakaman itu tulen tetapi identiti pelakunya tidak dapat disahkan “kerana resolusi rakaman yang rendah”.

Rakaman seks yang menunjukkan dua lelaki berhubungan intim tersebar melalui WhatsApp pada awal pagi 11 Jun 2018.

Bekas pemimpin Pemuda PKR Santubong, Sarawak Haziq Abdullah Abdul Aziz kemudian membuat pengakuan beliaulah lelaki dalam rakaman itu dan menuduh Azmin pasangannya.

Hubungan intim itu, kata Haziq, berlaku di Sandakan, Sabah pada 11 Mei 2018, semasa kempen pilihan raya kecil kawasan parlimen itu.

Azmin, yang juga timbalan presiden PKR, keras menafikan tuduhan dan menyifatkannya sebagai perancangan jahat untuk memusnahkan masa depan politiknya.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad juga sekurang-kurangnya dua kali menegaskan penyebaran rakaman seks itu adalah gerakan politik mahu menjatuhkan Azmin.

Penyebaran rakaman seks itu mencetuskan ketegangan dalam PKR selepas penyokong Azmin mendakwa ia didalangi oleh pemimpin parti sendiri.

Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak ditahan polis beberapa hari untuk membantu siasatan. Beliau juga merupakan setiausaha politik kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Beliau adalah antara 11 individu yang ditahan untuk membantu siasatan, termasuk Haziq sendiri.

Tuduhan itu membawa kepada perpecahan di dalam PKR dan Azmin seterusnya bersama 10 orang ahli Parlimeniitu bertindak keluar parti.

Kumpulan dipimpinnya itu kemudian membentuk gabungan baharu bersama Bersatu, Umno dan PAS dan menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan tumbang pada Februari 2020.

Saman yang dikemukakan pengundi Gombak terbabit menyebut, gerakan yang digelar Langkah Sheraton itu merupakan satu bentuk penipuan dan pelanggaran kewajipan fidusiari. – 31 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen