Program saringan Covid-19 pekerja asing seluruh negara mulai Selasa, kata menteri


Program saringan Covid-19 bagi pekerja asing akan diperluaskan ke seluruh negara susulan pelaksanaan semula PKP serta pengumuman bantuan Permai, kata Menteri Sumber Manusia M Saravanan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Januari, 2021.

PROGRAM saringan Covid-19 bagi pekerja asing akan diperluaskan ke seluruh negara bermula 2 Februari ini, kata Menteri Sumber Manusia M Saravanan.

Beliau berkata perluasan skop itu adalah susulan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 13 Januari serta pengumuman bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) pada 18 Januari.

Beliau berkata program tersebut dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan kerjasama klinik-klinik swasta di seluruh negara yang menjalankan ujian saringan menggunakan kaedah RTK Antigen yang diluluskan Kementerian Kesihatan (KKM).

Saravanan berkata kos bagi kit ujian dibiayai oleh Perkeso manakala majikan hanya perlu membiayai kos perkhidmatan yang dikenakan oleh klinik atau hospital.

“Perkeso telah menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM54 juta bagi peluasan skop saringan ini,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.

Saravanan berkata bagi pekerja asing yang bukan pencarum Perkeso, kos saringan perlu ditanggung sepenuhnya oleh pihak majikan.

Beliau berkata keperluan menjalani saringan Covid-19 diwajibkan oleh kerajaan melalui Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan pematuhan kepada keperluan ini akan dipantau oleh Kementerian Sumber Manusia.

Maklumat lanjut berkenaan program ini termasuk senarai klinik akan dikemas kini di portal Program Saringan Prihatin dari semasa ke semasa. Sebarang pertanyaan boleh diajukan melalui emel [email protected] atau talian hotline 1-300-22-8000 atau 03-4264 5089. – Bernama, 30 Januari, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen