UAE sedia bekerjasama dengan PBB, AS berhubung konflik Libya 


UAE sedia mengundurkan tenteranya di Libya bagi menghormati kedaulatan rakyat di negara berkenaan. – Gambar EPA, 30 Januari, 2021.

EMIRIAH Arab Bersatu (UAE) mengeluarkan kenyataan menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan pentadbiran baharu Amerika Syarikat bagi menyelesaikan konflik di Libya. 

“Terdapat keperluan mendesak untuk memperbaharui usaha bagi menyelesaikan konflik di Libya,” kata duta UAE ke PBB, Lana Nusseibeh dalam satu surat. 

“UAE membuat pendirian untuk sedia bekerjasama dengan semua ahli Majlis Keselamatan, termasuk pentadbiran baharu AS, bagi mencapai penyelesaian damai untuk rakyat Libya,” katanya.

Beliau berkata negaranya mengalu-alukan gesaan Majlis Keselamatan PBB untuk semua pasukan keselamatan asing keluar dari Libya. Campur tangan asing dalam konflik ini kini perlu dihentikan.”

Sehari sebelum itu pada mesyuarat secara maya Majlis Keselamatan di Libya, Amerika Syarikat menggesa semua pihak luar termasuk Rusia, Turki dan UAE untuk menghormati kedaulatan Libya dan rakyatnya serta menghentikan semua campur tangan tentera di negara itu. 

UAE bersama Mesir dan Rusia merupakan penyokong utama Khalif Haftar yang menguasai timur Libya yang menentang kerajaan sokongan PBB di Tripoli. 

“UAE percaya penyelesaian diplomatik dan politik merupakan cara utama untuk menamatkan konflik di Libya,” kata Nusseibeh. 

Menurutnya keutamaan akan diberikan untuk melaksanakan dan menguatkuasakan perjanjian gencatan senjata yang dipersetujui pada Oktober. 

“Ini akan memungkinkan proses politik dan peralihan pimpinan Libya yang memenuhi aspirasi rakyat Libya untuk kestabilan, perdamaian dan kemakmuran,” tambahnya. – AFP, 30 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen