Bos tak izin bekerja dari rumah, ugut potong gaji, kata pekerja


Elill Easwaran

Ada pekerja terpaksa mengikut sahaja arahan majikan kerana risau elaun atau gaji dipotong walaupun kes kluster tempat kerja sedang bertambah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Januari, 2021.

ADA pekerja dikerah bekerja di pejabat walaupun jumlah kluster Covid-19 tempat kerja meningkat dan kerajaan mengarahkan bekerja dari rumah (BDR).

Bimbang dengan pendedahan terhadap Covid-19 yang kini menular, mereka yang bercakap kepada The Malaysian Insight berkata, mereka cuba menarik perhatian bos mereka tetapi tidak dipandang serius, atau diancam dengan potongan gaji.

“Pejabat hanyalah tempat untuk rakan sekerja berbincang, yang sebenarnya boleh dibuat semasa kami bekerja dari rumah,” kata seorang perunding perhubungan awam yang hanya ingin dikenali sebagai Elaine.

Mereka yang diwawancara, yang bekerja di pejabat di sekitar Lembah Klang tidak mahu memberikan nama penuh atau mendedahkan tempat kerja mereka kerana bimbang akan dikenakan tindakan oleh majikan.

Elaine berkata, syarikatnya yang terdiri daripada 50 pekerja yang bekerja di paras sama menyukarkan mereka untuk mematuhi penjarakan sosial dan prosedur operasi standard (SOP).

Antara SOP itu termasuklah mengelakkan tempat padat dan tertutup, dan menjaga jarak sekurangnya satu meter ketika berbual, selain mengimbas suhu, penggunaan pembersih tangan dan pembasmian kuman.

Elaine berkata, semua kakitangan diarahkan hadir ke pejabat dari Isnin sampai Rabu.

Daniel, seorang pereka grafik syarikat berkata, beliau risau diarahkan bekerja di pejabat memandangkan ibu bapanya tinggal bersamanya. Beliau juga mempunyai anak, dan tidak mahu mereka terdedah dengan sebarang risiko.

Beliau mengakui bekerja di pejabat lebih senang kerana pelayan (server) komputer pejabat ada di sana, namun begitu beliau masih dapat menyelesaikan tugasnya dari rumah.

“Kami diarahkan hadir ke pejabat lima kali seminggu tetapi saya sangat risau sebab saya ada anak dan ibu bapa di rumah, yang dianggap berisiko tinggi.”

Syarikat Daniel mempunyai lebih dari 200 kakitangan di pejabat setiap hari, dalam ruang pejabat dua aras.

“Orang sangat ramai dan sukar untuk menjaga penjarakan sosial.

“Walaupun salah seorang rakan saya didapati positif (Covid-19), pihak pengurusan hanya memberitahu kontak rapat mangsa sahaja duduk di rumah, sementara semua yang lain perlu datang ke pejabat.”

Tambahnya, syarikat itu tidak menampung wang untuk pekerjanya mengambil ujian Covid-19. Jadi perlu guna wang pekerja sendiri.

Arahan kerajaan untuk BDR terpakai kepada syarikat yang tidak disenaraikan sebagai perkhidmatan penting dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sektor penting ialah pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran, perladangan dan komoditi.

Menteri Sumber Manusia M Saravanan sebelum ini berkata majikan tidak boleh memotong gaji atau memaksa pekerja mengambil cuti tahunan jika bekerja dari rumah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Januari, 2021.

Arahan BDR lain termasuk hanya 30 peratus pekerja peringkat pengurusan perlu ke pejabat, sementara jumlah pekerja di bahagian sokongan dan perkhidmatan yang diperlukan di pejabat ditentukan oleh majikan.

Pekerja yang telah cuba memohon kepada majikan mereka diberitahu elaun mereka akan dipotong. Kebanyakan bos tidak prihatin, kata mereka, malah hanya mengulang arahan supaya datang ke pejabat.

Eksekutif perkhidmatan pelanggan Melissa Asha berkata beliau diberitahu elaunnya akan dipotong jika tidak mematuhi arahan majikan.

“Walaupun saya takut untuk pergi ke pejabat kerana peningkatan kes Covid-19, saya tidak ada pilihan lain. Akhirnya, saya perlukan wang untuk bertahan.

“Pekerja lain telah kemukakan masalah ini dengan pihak pengurusan tetapi akhirnya jadi permainan salah menyalah dengan pihak pengurusan yang berkata klien mahu semua pekerja hadir ke pejabat,” kata Melissa.

Menurut Elaine, ramai rakan sekerjanya mula mengabaikan SOP dengan beranggapan semua yang datang bekerja adalah sihat.

“Di pejabat, ramai yang tidak pakai pelitup muka kerana mereka anggap ‘semua orang selamat, semua orang sihat’,” katanya.

“Baru-baru ini salah seorang rakan sepejabat positif Covid-19, jadi saya bertambah takut nak ke pejabat.

“Jujurnya, saya tak selesa bekerja di pejabat, sebab saya terpaksa berulang-alik setiap hari, berjalan kaki beli makanan tengah hari,” tambah Elaine, yang pejabatnya terletak tidak jauh dari pusat beli-belah Mid Valley Megamall.

Pejabatnya juga tidak disanitasi dengan betul, malah pintu kaca penuh dengan kesan cap jari, katanya.

“Meloyakan, terutamanya apabila sekarang ini semua orang bercakap betapa pentingnya kebersihan untuk melawan Covid-19.”

Kementerian Kesihatan pada Rabu lalu mengesan 17 kluster baharu Covid-19 dalam negara. 

Daripada jumlah itu, 15 berkait tempat kerja dan menyumbang 1,076 kes atau 95% daripada 1,130 kes direkodkan semua kluster baharu.

Meskipun kebanyakan kluster membabitkan tapak pembinaan, kilang dan asrama, namun akhir-akhir ini kluster juga dikesan di tempat kerja lain seperti pasar raya, institut latihan, pusat pentadbiran dan kolej pengajian.

Menteri Sumber Manusia M Saravanan sebelum ini berkata majikan tidak boleh memotong gaji atau memaksa pekerja mengambil cuti tahunan jika bekerja dari rumah. – 29 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen