PAS bijak bersama 2 gabungan, kata penganalisis


Zaim Ibrahim

PAS dapat mengekalkan kuasanya melalui dua kerjasama serentak walaupun hubungan antara Umno dan Bersatu semakin dingin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Januari, 2021.

PAS bijak apabila mengekalkan hubungan bersama Umno dalam Muafakat Nasional (MN) dan pada masa sama bekerjasama dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN), kata penganalisis politik.

Mereka berpendapat PAS dapat mengekalkan kuasanya melalui dua kerjasama serentak itu, walaupun hubungan antara Umno dan Bersatu semakin dingin.

Penganalisis bagaimanapun memberitahu The Malaysian Insight, ketiga-tiga parti itu perlu segera menyelesaikan isu kerjasama antara mereka untuk mengelak pertandingan tiga penjuru dalam pilihan raya umum akan datang.

Pensyarah politik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali berkata PAS bekerjasama dengan Umno dan Bersatu kerana sedar ia akan rugi jika hanya bersama salah sebuah parti sahaja.

“PAS ambil langkah ini kerana ia memberi keuntungan. PAS perlu Umno dan juga Bersatu untuk terus menjadi kerajaan.

“Apabila berada dalam blok kerajaan, mereka dapat tawarkan pakej dan polisi yang baik, peluang lebih besar untuk tarik sokongan rakyat,” kata beliau kepada The Malaysian Insight.

PAS yang menguasai Kelantan dan Terengganu, kini turut mentadbir Kedah hasil kerjasama politik dengan Umno dan Bersatu. Ia juga menyertai pentadbiran di Perak bersama dua parti tersebut.

Umno dan PAS menjalin kerjasama rasmi atas nama Muafakat Nasional (MN) pada September 2019, ketika dua parti utama Melayu itu menjadi pembangkang. 

PAS bagaimanapun selepas itu bersama Bersatu menubuhkan PN, yang tidak disertai oleh Umno dan Barisan Nasional (BN).

Umno dan BN sebaliknya mengambil pendirian menyokong kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sehingga pilihan raya umum akan datang.

Presiden PAS Abdul HAdi Awang berkata kerjasama dengan Perikatan Nasional dan juga Muafakat Nasional demi menyatukan orang Melayu-Islam dan mengelak dominasi bukan Islam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Januari, 2021.

Penganalisis politik sebelum ini berkata sudah sampai masanya untuk PAS membuat pilihan antara PN atau MN.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang minggu lalu berkata parti Islam itu mahu terus bekerjasama dengan kedua-dua gabungan PN dan MN demi menyatukan orang Melayu-Islam dan mengelak dominasi bukan Islam.

“Kalau orang Melayu berpecah akan berlaku sekali lagi suasana dominasi orang bukan Islam yang tak selaras dengan penduduk islam jadi akan berlaku kecelaruan,” kata beliau dalam wawancara bersama Majlis Profesor Negara.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Abu Bakar berkata sikap PAS menjalinkan kerjasama dengan Umno dan Bersatu bukan sahaja menguntungkan parti itu malah juga gabungan kerajaan sekarang dalam pilihan raya akan datang.

“Jika mereka tidak berpecah, kita boleh kata kerusi-kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri majoriti Melayu akan didominasi oleh ketiga-tiga parti ini.

“Mereka juga gagal dicabar oleh parti lain sama ada daripada Pakatan Harapan mahupun daripada Pejuang, di situ rasional PAS yang berkata ketiga-tiga parti (PAS, Umno, Bersatu) tidak boleh berpecah dan perlu berada dalam satu pasukan untuk hadapi pilihan raya,” kata beliau.

Jelas Hisomuddin, PAS kekal menjadi orang tengah antara Bersatu dengan Umno walaupun hubungan kedua-dua parti itu sememangnya dalam keadaan keruh.

“Tetapi PAS di tengah-tengah, mereka untung walaupun dengan hanya 18 ahli Parlimen tetapi dapat tiga negeri sebagai kerajaan.

“Mereka diberi jawatan menteri dan timbalan menteri, sudah melebihi daripada apa yang telah dapat.

“Umno ada ramai ahli Parlimen tetapi tidak mendapat posisi yang dikehendaki, menteri-menteri kanan pun banyak daripada blok Bersatu,” tambahnya.

Umno dan PAS menjalin kerjasama rasmi atas nama Muafakat Nasional pada September 2019. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Januari, 2021.

Atas dasar itu, PAS berada dalam keadaan selesa sebagai kerajaan dan belum bersedia jika terpaksa menjadi pembangkang semula, kata Hisomuddin.

“PAS tetap perlu memujuk Umno dan Bersatu untuk tidak bertembung, tapi misi itu dilihat sukar buat masa ini.

“Keadaan masih kabur bagaimana tiga parti ini nak susun strategi, jika gagal dicapai kata sepakat PN dan MN…boleh berlaku tiga penjuru,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden yakin sikap PAS itu mampu membuahkan hasil terutama bagi mengelak pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya.

“Ini strategi baik untuk pilihan raya iaitu untuk satukan parti Melayu yang ada dalam kerajaan bagi memastikan pertandingan dua penjuru. 

“PAS mampu menjadi orang tengah sebagai watak pendamai antara Umno dengan Bersatu,” jelasnya.

Hubungan Umno dan Bersatu tegang sejak kedua-dua parti menjalin kerjasama untuk membentuk sebuah kerajaan baharu selepas percaturan politik pada Februari 2020 yang menumbangkan kerajaan PH.

Umno dijadual memutuskan kedudukan kerjasama politiknya dalam perhimpunan agung tahunan parti selepas majoriti bahagian membuat ketetapan menolak kerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya akan datang.

Perhimpunan Agung Umno yang asalnya ditetapkan pada hujung minggu ini bagaimanapun sudah ditangguh ke suatu tarikh lain susulan perisytiharan darurat dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan membendung Covid-19. – 27 Januari, 2021.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen