PAS mahu kerjasama dengan Perikatan dan Muafakat, kata Hadi


Diyana Ibrahim

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata MN dan PN tiada pilihan selain bersatu untuk memastikan kemenangan pada pilihan raya akan datang.– Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Januari, 2021.

KERJASAMA dengan kedua-dua gabungan Perikatan Nasional dan juga Muafakat Nasional demi menyatukan orang Melayu-Islam dan mengelak dominasi bukan Islam, kata presiden parti Islam itu.

Abdul Hadi Awang juga berkata, MN dan PN tiada pilihan selain bersatu untuk memastikan kemenangan dalam pilihan raya umum kelak.

“Sebab itu kita utamakan gabungan parti orang Melayu Islam dulu  dan kita menegakkan MN dan PN ini bersama.

“Kuatkan MN perkasakan PN supaya kepimpinan Melayu Islam bersatu masa pada masa sama melibatkan masyarakat majmuk.

“Kalau orang Melayu berpecah akan berlaku sekali lagi suasana dominasi orang bukan Islam yang tak selaras dengan penduduk islam jadi akan berlaku kecelaruan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu forum hari ini apabila ditanya mengenai pendirian parti Islam itu sama ada akan bekerjasama dengan MN atau PN.

Persoalan itu timbul memandangan Umno pada awal bulan ini memutuskan untuk bekerjasama dengan PAS sahaja dalam MN sebagai satu gabungan untuk menghadapi PRU15.

Gabungan kerjasama politik itu dibentuk lebih awal antara PAS dan Umno pada 2019 selepas kekalahan dalam pilihan raya umum 2018.

PN pula dibentuk antara Bersatu, Umno dan PAS yang membolehkannya mengambil alih kerajaan dan menumbangkan Pakatan Harapan pada awal 2020.

Namun kekuatan gabungan PB kini teruji apabila timbul krisis antara Bersatu dan Umno.

Pada awal bulan ini, Umno telah membuat keputusan hanya bersama dengan PAS sebagai satu gabungan PRU15.

PAS juga didesak pemimpin Umno untuk membuat keputusan sama ada ingin terus bersama-sama dalam MN atau hanya bekerjsama dalam PN.

Pengarah Pilihan Raya Umno Tajuddin Abdul Rahman yang membuat gesaan itu berkata, ini kerana PAS  masih belum pendirian yang jelas mengenai kerjasama mereka.

Pada masa sama Hadi turut mengulangi pendirian parti Islam itu menyokong keputusan kerajaan mengisytiharkan darurat.

Beliau berkata proklamasi darurat dibuat dengan cara yang matang mengambil kira situasi pandemik Covid-19 di negara yang semakin kritikal dengan ketidakstabilan politik.

Beliau tampil dalam forum Siri Bicara Negarawan anjuran Majlis Profesor Negara yang disiarkan secara langsung di Facebook. – 19 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen