Penganut Hindu dilarang berarak bersama pedati ke Batu Caves


Kerajaan melarang perarakan bersama pedati sempena perayaan Thaipusam, mahupun menjadi penonton di pinggir jalan susulan PKP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Januari, 2021.

ORANG ramai diingatkan agar tidak berarak bersama pedati yang membawa arca Dewa Murugan sempena perayaan Thaipusam, mahupun menjadi penonton di pinggir jalan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata polis akan berada di kawasan-kawasan dilalui pedati berkenaan bagi memastikan tiada penonton secara beramai-ramai berada di pinggir jalan sepanjang laluan pedati itu.

“Saya harap perkara ini dapat dipatuhi supaya tiada (orang) dikenakan tindakan dan sebagainya dan pedati dapat bergerak dengan lancar,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan PKP hari ini.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan perarakan Pedati Perak Kuil Sri Subramaniam Swamy Batu Caves itu dibenarkan namun hanya akan melibatkan 10 peserta tanpa penyertaan orang awam.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga menteri pertahanan berkata 10 orang yang dibenarkan itu juga ditetapkan perlu berada di dalam kenderaan yang menarik pedati itu, untuk sepanjang perjalanan.

Katanya pedati itu dibenarkan bergerak dari Kuil Sri Maha Mariamman Dhevasthanam di Jalan Tun H S Lee di Kuala Lumpur ke Kuil Sri Subramaniam Swamy Batu Caves pada 3 pagi esok (27 Januari) dan dibawa semula ke Kuil Sri Maha Mariamman Dhevasthanam waktu yang sama pada Jumaat.

“Kita pilih waktu ini sebab ia bukan waktu sesak dan jalan lengang kerana kita tahu semua aktiviti perniagaan dibenar beroperasi hingga 8 malam dan restoran paling lewat 10 malam,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri berkata kerajaan turut menetapkan bahawa semua upacara Thaipusam yang lain di kuil tidak dibenarkan dan semua penganut digalakkan melakukan upacara sembahyang di rumah masing-masing.

“Walaupun kita tak benarkan di kuil, tetapi kita beri pengecualian iaitu lima ahli jawatankuasa atau petugas kuil dibenar hadir ke kuil untuk jalankan upacara keagamaan.

“Ziarah juga hanya dihadkan kepada seisi keluarga dalam rumah yang sama sahaja,” katanya.

Beliau berkata ketetapan ini dibuat selepas meneliti semua aspek termasuk peningkatan kes harian Covid-19 yang masih tinggi dan nasihat Kementerian Kesihatan serta Kementerian Perpaduan Negara. – Bernama, 26 Januari, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen