Wanita mampu jadi PM Malaysia, kata Dr Mahathir


Dr Mahathir Mohamad berkata golongan wanita juga mempunyai pengalaman mendalam dan pengetahuan luas serta mampu menjadi penyumbang kepada pembangunan negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Januari, 2021.

WANITA juga mampu menjadi perdana menteri negara ini suatu hari nanti, kata Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu bagaimanapun berkata ia adalah proses yang panjang dan mengambil masa sebelum wanita dapat memainkan peranan lebih penting dalam pentadbiran negara.

“Kita lihat perkara ini (perdana menteri wanita) berlaku di negara-negara maju dan kita juga lebih awal dalam memberi peranan kepada wanita sebagai pemimpin.

“Mungkin (pada masa ini) tak sampai jadi perdana menteri, tetapi sudah ada (wanita) yang sudah dapat jawatan dengan tanggungjawab tinggi, malah mereka juga menjalankan tugas dengan baik,” katanya dalam program bual bicara ‘Tick Talk 60 Minute: Wanita-Wanita Bersama Tun M’  yang disiarkan secara langsung di Facebook rasmi beliau, hari ini.

Dr Mahathir berkata golongan wanita hari ini juga mempunyai pengalaman mendalam dan pengetahuan yang luas, sekali gus mampu menjadi penyumbang kepada pembangunan negara.

“(Malah) penuntut wanita adalah bilangan terbesar di universiti dan mereka juga mengambil bahagian dalam setiap kegiatan di sana, malah ada yang berpeluang mengikutinya sehingga ke luar negara,” katanya dan menambah wanita juga lebih serius dalam segala tugasan yang dilakukan. – Bernama, 25 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen