Petunjuk ekonomi digunakan kerajaan ketinggalan zaman, kata pakar


Chan Kok Leong

Pakar ekonomi berkata inisiatif diumumkan kerajaan tidak mencukupi bagi majoriti penduduk miskin di Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Januari, 2021.

PETUNJUK ekonomi Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa yang menggambarkan ekonomi negara dalam keadaan baik sudah ketinggalan zaman, kata Dr Muhammed Abdul Khalid.

Ahli ekonomi itu berkata, kerajaan tidak mengambil kira keadaan lebih buruk yang berlaku dalam tempoh lebih awal.

“Mereka berkata KDNK suku ketiga (Q3) 2020 tidak begitu teruk, pasaran saham baik, tetapi jangan lupa Q2 adalah terburuk yang pernah berlaku, dan paling teruk di rantau ini, dan kemasukan pelaburan asing berkurangan,

“Dengan pengangguran meningkat hampir 50% berbanding tahun lepas dan yang terburuk sejak 30 tahun lalu bagaimana mereka boleh kata ekonomi tidak teruk,” soal Muhammed.

Beliau yang bercakap dalam satu forum dalam talian malam tadi berkata, menteri harus lebih kerap turun ke lapangan untuk melihat betapa teruknya ekonomi bagi golongan miskin.

“Memang benar jualan kereta mewah seperti Mercedes Benz meningkat berbanding sebelun Covid. Jualan jet peribadi juga naik.

“Ini tidak bermakna rakyat Malaysia sudah OK. Yang jelas, orang kaya terus kaya tetapi yang miskin menjadi lebih miskin,” kata Muhammed.

Beliau mengulas komen Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz bahawa Malaysia mencatat penguncupan terendah sebanyak 2.7% di Asia Tenggara pada Q3 2020.

Menurut senator tersebut, penguncupan ekonomi di Malaysia lebih rendah berbanding di Singapura (-7%), Indonesia (-3.5%) dan Filipina (-11.5%).

Tengku Zafrul juga berkata, pakej rangsangan Permai Putrajaya menambah baik inisiatif dalam Belanjawan 2021 serta kesinambungan pakej rangsangan ekonomi Rakyat Prihatin (Prihatin) dan Rancangan Pemulihan Ekonomi Nasional (Penjana).

Namun keberkesanan pakej Permai itu dipersoal Muhammed, yang antara lain membangkitkan kesannya kepada peniaga jalanan.

“Sebagai contoh, Makcik Kiah hanya akan mendapat baki RM300 daripada skim Prihatin tahun ini. Geran yang diberikan kepada peniaga kecil mungkin tidak akan diperoleh kerana hanya 1 juta atau 2.4 juta penjaja dan peniaga yang berdaftar.”

Beliau berkata inisiatif diumumkan oleh kerajaan seminggu selepas pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) tidak mencukupi bagi majoriti penduduk miskin di Malaysia.

“Malah bakul makanan RM100 yang akan mereka berikan tidak mencukupi kerana ia berdasarkan penilaian kepada 500,000 isi rumah miskin.

“Angka ini adalah pra-Covid-19. Jadi, bagaimana ia akan membantu mereka yang hilang pekerjaan atau dikurangkan pekerjaan tahun ini?”

Beliau juga berkata prosedur operasi standard tetap (SOP) kerajaan tidak membantu perniagaan.

“Ketika pertama kali mengumumkan PKP, industri automotif tidak diizinkan beroperasi. Tetapi sekarang dibolehkan semula.

“Bagaimanapun, Toyota dan Honda berkata mereka akan menghentikan operasi. Ini flip-flop yang tidak menyakinkan pelabur ,” kata Muhammed.

Muhammed bercakap dalam forum mengenai Covid-19 dan kesan ekonomi susulan PKP bersama doktor perunding Dr Musa Mohd Nordin.

Sesi tersebut dikendalikan oleh Dr Abu Hafiz Salleh Hudin. – 21 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen