Ahli Parlimen pembangkang desak Putrajaya lanjut waktu operasi kedai makan


Masa operasi kedai makanan dan minuman hanya sehingga 8 malam menyusahkan mereka yang perlu membeli makanan selepas tamat waktu bekerja, kata 21 ahli Parlimen Pembangkang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Januari, 2021.  

PUTRAJAYA perlu membenarkan waktu operasi kedai makan di negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PK) dilanjutkan sehingga selepas 8 malam, desak 21 ahli Parlimen pembangkang.

Arahan yang menghadkan waktu operasi premis sehingga 8 malam digesa dikaji semula memandangkan penjualan makanan hanya dibenarkan secara bawa pulang, pandu lalu atau penghantaran ke rumah, kata mereka dalam satu kenyataan bersama hari ini.

“Masa operasi kedai makanan dan minuman seperti sekarang telah menyusahkan mereka yang perlu membeli makanan selepas tamat waktu bekerja. 

“Membenarkan para peniaga beroperasi mengikut lesen perniagaan mereka akan membantu memulihkan ekonomi para peniaga, menjana pendapatan penghantar makanan serta menggalakkan rakyat duduk di rumah kerana mereka boleh membuat pesanan dari rumah dan tidak terhad sehingga 8 malam sahaja,” menurut kenyataan bersama ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH), Warisan dan Pejuang itu. 

Kenyataan ditandatangani oleh Darell Leiking (Penampang), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Mohd Azis Jamman (Sepanggar), Hannah Yeoh (Segambut), Yeo Bee Yin (Bakri), Baru Bian (Selangau), Sivarasa Rasiah (Sungai Buloh), Salahuddin Ayub Pulai), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), Teo Nie Ching (Kulai), Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud), Mahfuz Omar (Pokok Sena), Khalid Samad (Shah Alam), Maszlee Malik (Simpang Renggam), Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya), Wong Shu Qi (Kluang), Teresa Kok (Seputeh), Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor), Dr Lee Boon Chye (Gopeng), Kasthuriraani Patto (Batu Kawan) dan Nor Azrina Surip Nurin Aina (Merbok).

Semasa temph PKP restoran, trak makanan, gerai makanan hanya dibenarkan beroperasi dari jam enam pagi hingga lapan malam dan terhad untuk perkhidmatan bawa pulang dan penghantaran sahaja.

Dalam pada itu mereka menggesa Majlis Keselamatan Negara menambah baik prosedur operasi standard (SOP) kerana ia memberi kesan kepada para peniaga yang hanya bergantung kepada pendapatan harian, selain melanjutkan moratorium pinjaman bank.

“Berbanding semasa PKP fasa pertama, para peniaga mungkin lebih teruk terjejas kali ini kerana mereka terpaksa menanggung pembayaran sewa kedai dan gaji pekerja tanpa adanya moratorium seperti sebelum ini.”

Semalam, Adun Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran menggesa MKN membenarkan pasar basah dibuka lebih awal sejam lebih awal iaitu 6 pagi.

Rajiv dalam satu kenyataan berkata beliau menerima banyak aduan dari kawasannya mengenai waktu yang ditetapkan kerajaan bagi operasi pasar basah.

Pasar basah dibenarkan beroperasi dari jam 7 pagi hingga 2 petang semasa tempoh PKP. – 18 Januari, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen