Bapa, anak warga Australia dibebaskan dari tahanan Qatar


Profesor Lukman Thalib, 58, dan anaknya, Ismail Talib, 24, dilaporkan ditangkap di ibu negara Qatar, Doha, pada bulan Julai. – Gambar AFP, 17 Januari, 2021.

SEORANG bapa dan anak lelaki warga Australia dibebaskan selepas hampir enam bulan ditahan atas tuduhan yang tidak diketahui di Qatar, kata beberapa sumber pada hari Ahad.

Profesor Lukman Thalib, 58, dan anaknya, Ismail Talib, 24, dilaporkan ditangkap di ibu negara Qatar, Doha, pada bulan Julai.

Beliau dan anaknya bagaimanapun telah dibebaskan dari tahanan, kata seorang sumber yang berpangkalan di Doha. 

Sumber itu turut berkata bahawa Lukman dan anaknya telah diterbangkan ke Turki pada 5 Januari.

Organisasi hak asasi manusia yang berpangkalan di UK, CAGE, berkata mereka melakukan perjalanan ke sana bagi mendapatkan rawatan perubatan.

“Sebagai keluarga, kami sangat gembira ketika kami mendengar ayah dan abang saya dibebaskan. Kami benar-benar tidak percaya,” kata Maryam Talib, anak perempuan Profesor Thalib, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh CAGE.

CAGE berkata mereka berdua ditahan ketika bersendirian dan kekurangan rehat sepanjang penahanan mereka.

Maryam Talib berkata keluarganya masih mempunyai “banyak pertanyaan yang belum dijawab”, termasuk persoalan kenapa Canberra hanya memberikan “sedikit sokongan” selama penahanan mereka.

“Kami masih belum menerima tuduhan atau alasan rasmi atas apa yang telah terjadi,” katanya.

Kementerian luar Australia juga berkata dalam satu kenyataan bahawa pihaknya “telah memberikan bantuan konsular kepada dua warga Australia yang telah ditahan di Qatar” namun enggan mengulas lebih lanjut.

Kerajaan Qatar juga telah dihubungi untuk mendapatkan respons mereka.

Pada bulan Oktober, Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat melantik anak lelaki Profesor Thalib yang lain, Ahmed Luqman Talib, sebagai “fasilitator” bagi kumpulan Al-Qaeda.

Bagaimanapun, tidak ada pertuduhan yang diajukan secara terbuka terhadap Ahmed Luqman Talib.

Ayah beliau disenaraikan dalam direktori Kolej Sains Kesihatan Universiti Qatar sebagai profesor kesihatan awam dengan pengkhususan dalam bidang biostatistik.

CAGE berkata kedua-dua lelaki yang dibebaskan itu merancang untuk menghabiskan masa berehat di Turki sebelum kembali ke Australia. – AFP, 17 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen