Politik tidak stabil juga punca darurat, kata Annuar Musa


Annuar Musa menafikan dakwaan yang pengisytiharan darurat dibuat kerana mahu selamatkan perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Januari, 2021.

KEADAAN politik Malaysia yang tidak stabil juga antara faktor yang menyebabkan Jemaah Menteri mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat di seluruh negara, kata Annuar Musa.

Ketidakstabilan politik itu pula bertembung dengan penularan pandemik Covid-19 yang semakin meningkat, kata menteri Wilayah Persekutuan.

“Kalau orang kata darurat ini Covid-19 sahaja, pada saya tak tepat. Ia macam musim banjir, apabila hujan lebat pada masa sama air pasang, maka jadi banjir lebih besar,” katanya dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia, yang disiarkan hari ini.

Jelas beliau, dalam keadaan politik yang tidak stabil itulah kerajaan Perikatan Nasional (PN) – yang mempunyai majoriti terlalu tipis di Dewan Rakyat – bertanggungjawab untuk mengawal penularan pandemik.

“Kalau ketidakstabilan politik sahaja ia boleh diselesaikan secara politik. Kalau Covid-19 sahaja dan selagi kerajaan stabil ia boleh diselesaikan, tetapi apabila hujan lebat dan air pula pasang serentak maka banjirnya jadi terlalu besar dan kita perlu satu penyelesaian.

“Banyak orang yang yang tidak terlibat dalam menguruskan Covid-19 tidak dapat faham darurat berlaku kerana Covid-19 tetapi mereka kata bukan Covid-19 tetapi kerana mahu selamatkan perdana menteri,” katanya. 

Annuar juga berkata perisytiharan darurat itu juga bukan idea Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tetapi nasihat pakar “yang memberikan pilihan-pilihan untuk perdana menteri buat keputusan”.

Seorang lagi menteri kabinet Takiyuddin Hassan sebelum itu berkata perisytiharan darurat pada Selasa lalu bukan bermotifkan politiknya sebaliknya semata-mata untuk menguruskan penularan Covid-19 yang semakin kritikal.

Dalam wawancara di TV1 malam tadi menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) berkata pengurusan Covid-19 lebih penting sekarang berbanding main politik.

Takiyuddin juga mengingatkan sebelum perisytiharan darurat di seluruh negara minggu lalu, Yang di-Pertuan Agong juga sudah membuat perisytiharan sama untuk dua kawasan Parlimen (Batu Sapi dan Gerik) dan sebuah kawasan Dewan Undangan Negeri (Bugaya).

Pada Selasa lalu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan darurat di seluruh negara berkuat kuasa sehingga 1 Ogos 2021 atau lebih, awal jika penularan Covid-19 dapat dikawal dengan berkesan. – 17 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen