Peruntukan lebih RM35 juta untuk bina 3 dewan di Pagoh, kata Pejabat PM


PMO dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan peruntukan pembangunan itu bukan untuk pembinaan sebuah dewan seperti yang digembar-gemburkan sesetengah pihak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2021.

PEJABAT Perdana Menteri (PMO) menjelaskan bahawa peruntukan pembinaan dewan di Parlimen Pagoh bernilai RM35.43 juta adalah bagi membina tiga dewan orang ramai di kawasan berkenaan.

PMO dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan peruntukan pembangunan itu bukan untuk pembinaan sebuah dewan seperti yang digembar-gemburkan sesetengah pihak.

“Pejabat Perdana Menteri ingin menjelaskan bahawa peruntukan pembangunan tersebut ialah untuk pembinaan tiga dewan orang ramai.

“Ia melibatkan Dewan Gersik di Tangkak bernilai RM13 juta, Dewan Masyarakat Bukit Pasir di Muar bernilai RM16.66 juta dan Pusat Komuniti Bukit Kepong di Muar bernilai RM5.77 juta,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut perolehan bagi ketiga-tiga projek pembinaan dewan tersebut bukan secara rundingan terus tetapi mengikut tatacara perolehan secara tender yang diluluskan Kementerian Kewangan malah pembinaannya adalah untuk memenuhi keperluan masyarakat setempat.

Menurut kenyataan itu, dakwaan seperti yang ditularkan adalah berniat jahat dan PMO kesal dengan perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut.

Sebelum ini, beberapa portal memuat naik surat projek pembinaan dewan itu yang mendakwa peruntukan telah diluluskan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang juga Ahli Parlimen Pagoh. – Bernama, 16 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen