Kebakaran hutan Australia mengancam nyawa


Anggota bomba juga dilihat berdepan keadaan "yang sangat sukar", kata jabatan itu ketika angin membawa pergerakan api bergerak pantas ke arah barat laut dan suhu mencecah lebih dari 32 darjah Celsius. – Gambar AFP, 16 Januari, 2021.

ANGGOTA bomba Australia kini berhempas-pulas untuk mengawal api marak di bandar pantai barat Perth, selepas kebakaran hutan itu mengancam nyawa dan rumah penduduk.

Orang ramai di beberapa pinggir bandar selatan diarahkan “untuk bertindak bagi bertahan” selepas kebakaran mengancam kediaman berhampiran Oakford kira-kira 35 kilometer di selatan pusat bandar Perth itu, kata Jabatan Bomba dan Perkhidmatan Kecemasan tempatan dalam amaran kecemasannya.

Penduduk tempatan turut diarahkan berpindah jika jalan raya boleh dilalui atau berlindung ketika kebakaran menyebabkan asap tebal di kawasan itu.

Gambar udara menunjukkan sekurang-kurangnya satu kawasan terbakar dan beberapa pesawat pengebom air menjalankan operasi membendung kemarakan api.

Beberapa jalan ditutup dan pusat pemindahan turut disediakan jabatan itu.

Anggota bomba juga dilihat berdepan keadaan “yang sangat sukar”, kata jabatan itu ketika angin membawa pergerakan api bergerak pantas ke arah barat laut dan suhu mencecah lebih dari 32 darjah Celsius.

Terdapat juga beberapa kebakaran di sekitar pinggir bandar.

Bahagian barat Australia terhindar dari bencana kebakaran hutan musim panas tahun lalu yang merosakkan dua negeri paling ramai penduduk di negara itu, New South Wales dan Victoria.

Kebakaran itu juga memusnahkan lebih dari 24 juta hektar (49 juta ekar) kawasan semak dan hutan yang dilanda kemarau di seluruh Australia pada akhir 2019 dan awal tahun 2020 mengorbankan lebih dari 30 orang dan memusnahkan ribuan rumah. – AFP, 16 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen