Enam kluster baharu Covid-19 dicatat


Ragananthini Vethasalam

Pemeriksaan kontak rapat dilakukan terhadap keluarga pengantin baharu dan tetamu setelah pesakit indeks diuji positif pada 5 Januari, menyebabkan 20 lagi kes dapat dikesan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2020.

MALAYSIA hari ini mencatat enam kluster Covid-19 baharu termasuk satu kluster yang dikaitkan dengan majlis perkahwinan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah terbaru itu menjadikan kluster aktif di negara ini berjumlah 285.

Kluster Kampung Lebu di Bentong dan Kuantan, Pahang ditemui selepas sebuah majlis perkahwinan dan majlis tahlil.

Pemeriksaan kontak rapat dilakukan terhadap keluarga pengantin baharu dan tetamu setelah pesakit indeks diuji positif pada 5 Januari, menyebabkan 20 lagi kes dapat dikesan. Sebanyak 80 orang diperiksa bagi kluster tersebut.

Malaysia juga turut mencatat tiga kluster di tempat kerja hari ini.

Kluster Senai Cyber ​​di Kulai, Johor melaporkan jumlah kes terbanyak, selepas beberapa kilang di Kawasan Perindustrian Senai 3 telah melaporkan 114 kes. 
Kes-kes tersebut dikesan melalui saringan di premis masing-masing.

Kluster Jalan Permata di Taman Perindustrian Arab Malaysia di Nilai, Negeri Sembilan pula mencatatkan 61 kes.

Kluster Jalan Sembrong di Kluang, Johor pula melaporkan 18 kes.

Dua kluster lain yang dilaporkan hari ini adalah kluster pusat tahanan imigresen Tembok Nanas yang melaporkan 41 kes dan Kluster Taman Juta yang melaporkan 14 jangkitan di Hilir Perak yang dikesan daripada seorang kes indeks simptomatik.

Noor Hisham turut berkata lima kluster telah ditutup hari ini termasuk kluster tapak pembinaan Impian, Utama Rini, Kuala, Malawati dan Bina Bulatan.  – 16 Januari, 2021.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen