Singapura tumpaskan cubaan seludup rokok dalam patung


Rokok seludup yang disembunyikan dalam patung Tahun Baharu Lunar dibawa masuk menggunakan lori bernombor pendaftaran Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2021.

PIHAK Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura menggagalkan cubaan menyeludup 11,285 karton dan 7,685 paket rokok cukai tidak berbayar ke republik itu menggunakan lori bernombor pendaftaran Malaysia pada 13 Januari lepas. 

Menurut ICA pada hari itu pegawainya di Pusat Pemeriksaan Woodlands mengesan anomali dalam imej x-ray konsainan, iaitu patung Tahun Baharu Lunar yang diangkut lori itu.

Semasa pemeriksaan dijalankan, mereka menemukan rokok seludup itu yang disembunyikan dalam patung berkenaan,” katanya dalam laman Facebook rasminya, hari ini.

Pihak berkuasa berkata kes itu dirujuk kepada Kastam Singapura untuk siasatan lanjut.

“Kaedah penyembunyian itu mewujudkan kebimbangan kerana kaedah yang sama boleh digunakan oleh pihak lain yang mempunyai niat jahat untuk menyeludup barangan keselamatan ke Singapura,” menurut ICA.

Agensi itu berkata ia akan terus menjalankan pemeriksaan keselamatan ke atas penumpang, barangan dan kenderaan supaya dapat menjaga keselamatan Singapura. – Bernama, 16 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen