Harmonikan sistem pendidikan negara


TANPA disedari pandemik Covid-19 sudah berada dalam komuniti sekeliling kita dan hampir setahun kita masih melawan pandemik ini.

Sektor pendidikan antara terkena kesannya sehingga menyebabkan sesi persekolahan ditangguhkan. Sesi pelajaran dan pembelajaran terpaksa menggunakan aplikasi secara maya. Teknik pelajaran berubah secara 100% semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Hakikatnya, bukan semua golongan mampu mengakses secara mudah teknik pelajaran yang baharu secara maya. Bagi mereka yang tiada halangan untuk mendapat akses telekomunikasi di bandar tiada masalah manakala bagi golongan yang kurang mampu serta luar bandar yang hadapi kekangan kewangan dan kelengkapan komputer atau masalah jaringan telekomunikasi sudah tentu menghadapi kesukaran.

Pada 12 Januari, Kementerian Pendidikan memaklumkan pelajar yang mengambil peperiksaan awam perlu ke sekolah dan guru juga perlu berada di stesen masing-masing bagi meneruskan peperiksaan awam.

Terdapat pelbagai pihak melontarkan pandangan negatif dan positif akan perkara ini. Ada pihak membuat keluhan pihak kementerian memperjudikan nasib pelajar yang menghadapi peperiksaan awam.

Ada pihak mencadangkan perlunya mengambil kira prestasi keseluruhan akademik pelajar sejak dari tingkatan empat atau pihak kementerian menggunakan data prestasi peperiksaan percubaan SPM bagi setiap sekolah untuk menilai tahap akademik sebenar pelajar.

Bukan menidakkan cadangan ini tetapi perlu mengambil kira juga kepada latar belakang pelajar pertengahan dan kurang baik.

Keperitan keluarga mereka melawan pandemik secara langsung membawa semangat motivasi yang tinggi kepada jiwa mereka untuk berubah dengan lebih baik lagi dalam membantu keluarga berubah daripada susah kepada keselesaan.

Secara tuntasnya, kunci kejayaan hanya satu dengan mengambil peperiksaan awam dan memperoleh keputusan yang baik.

Sudah tiba masanya sistem pendidikan negara kita mengurangkan gred peratusan menjadi 40% untuk peperiksaan awam seperti SPM, STPM dan seumpamanya. Manakala 60% pula diukur dengan berteraskan konsep kemahiran pelajar atau nilai tambah pelajar. 

Nilai kemahiran yang bagaimana yang dibicarakan sudah tentu akan diulas, sebagai contoh, setiap pelajar yang meningkat naik belasan tahun mempunyai kemahiran tersendiri seperti mampu menulis, menghasilkan karya seni, menghasilkan sesuatu produk kemajuan untuk masyarakat atau membantu meningkatkan kualiti masyarakat dengan didikan disekolah dan diberi pendedahan sebetulnya.

Keadaan ini harus dipertimbangkan supaya pelajar sekolah ada pendedahan.

Keseimbangan ilmu dan kemahiran perlu selari bergerak secara langsung dengan kemahiran yang ada untuk dijadikan daya keupayaan kepada pemain sektor industri serta dapat mengubah status negara daripada negara pengguna kepada negara pengeluar yang mampu memberi saingan kepada negara lain.

Sesuatu dasar pendidikan perlu dirangka dan dikaji dengan penelitian. Bukan menafikan sistem peperiksaan awam tidak bagus tetapi perlu diselarikan dengan kemahiran dan nilai tambah kepada pelajar supaya tidak mendatangkan isu penghasilan kualiti pelajar yang hanya memikirkan gred peperiksaan saja.

Semua akui melalui pendidikan merupakan satu bentuk jaminan mobiliti sosial dalam meningkatkan taraf hidup isi rumah.

Taraf hidup isi rumah yang meningkat secara langsung membantu negara bergerak maju ke hadapan dan terus berkembang dengan penghasilan produktiviti yang kondusif. Malah melalui pendidikan juga kita dapat membebaskan sesuatu bentuk penjajahan minda  supaya tidak mudah terpengaruh dengan perkara yang merosakkan jiwa.

Tanpa peluang dan ruang pendidikan dalam meningkatkan potensi diri maka ia akan memperjudikan masa depan pelajar. Biarlah bermula dengan kepayahan dan diakhiri dengan membangun seribu kebaikan. – 15 Januari, 2021.

* Mohamad Shafwan ialah pembaca The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen