7 kluster baharu Covid-19, 4 berkaitan tempat kerja


Ragananthini Vethasalam

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah keseluruhan kluster jangkitan aktif di negara ini kini berjumlah 276 orang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Januari, 2021.

MALAYSIA melaporkan tujuh kluster baharu di mana empat daripadanya dikaitkan dengan tempat kerja.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata penambahan tujuh kluster baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kluster jangkitan aktif di negara ini kini berjumlah 276 orang.

Kluster Jalan Selayan yang dikaitkan dengan pasar raya di Gombak, Selangor apabila melaporkan 84 kes.

Kluster tempat kerja kedua dikenali sebagai Pasir Barat di Johor Bahru dan Kota Tinggi menyaksikan 92 kes.

Kluster tersebut dikesan selepas pemeriksaan saringan di lokasi projek di Pasir Gudang.

Di Kuala Lumpur, kluster tapak pembinaan Bina Dutamas di Kepong melaporkan 18 kes.

Rantau Silau yang merupakan kluster tempat kerja keempat yang dilaporkan hari ini dikesan selepas pemeriksaan saringan dilakukan di sebuah kilang di Port Dickson.

Setakat ini kluster berkenaan melaporkan 96 kes.

Bagi kluster bukan tempat kerja, kluster Tropika yang melaporkan 55 kes di Johor dikesan selepas pemeriksaan saringan di pusat tahanan.

Sementara itu kluster Intan Emas di Perak dan kluster Jalan Pahang di Kuala Lumpur dikesan daripada pesakit indeks yang mengalami gejala.

Intan Emas melaporkan 15 kes sementara Jalan Pahang melaporkan enam kes di sekitar Kepong, Titiwangsa, Lembah Pantai dan Cheras. – Bernama, 14 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen