Ketua pembangkang seru ahli parlimen rayu Agong batal darurat


Anwar Ibrahim berkata usaha Muhyiddin Yassin mengemukakan cadangan darurat hanya bertujuan menyelamatkan kedudukannya sebagai perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Januari, 2021.

KETUA pembangkang menyeru ahli Parlimen mengutuskan rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan perisytiharan darurat bagi mengadakan sidang tergempar Dewan Rakyat.

Seruan itu dinyatakan Anwar Ibrahim melalui memorandum yang dihantar kepada semua ahli Dewan agar Parlimen dapat bersidang sebelum akhir bulan ini.

Dalam surat tersebut, Anwar juga mengingatkan wakil rakyat berkenaan bahawa usaha Muhyiddin mengemukakan cadangan itu hanya bertujuan menyelamatkan kedudukan perdana menteri itu.

“Kami beranggapan, perdana menteri dan kerajaan telah terlanjur dan tersasar dalam menyampaikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong.

“... (Ini kerana darurat yang diisytiharkan) sesungguhnya tidak terkait dengan permasalahan Covid-19, banjir atau ekonomi.

“Perdana menteri lebih tertumpu kepada usaha mempertahankan kuasa,” katanya dalam memo tersebut.

Beliau juga mengingatkan ahli Parlimen bahawa cadangan Muhyiddin kepada Yang di-Pertuan Agong dibuat tanpa keabsahan kerana jumlah wakil rakyat kerajaan sudahpun menyusut.

Anwar menggesa para ahli Dewan Rakyat dapat mengemukakan rayuan kepada baginda segera sebelum Jumaat bagi membolehkan sidang tergempar dapat diadakan sebelum akhir bulan.

Beliau menjelaskan sidang tersebut perlu diadakan untuk membahaskan isu darurat, pandemik Covid-19 dan kemelut ekonomi yang melanda.

Selain itu, perisytiharan darurat itu juga tidak perlu dibuat kerana peruntukan undang-undang sedia ada memadai untuk mengawal penularan Covid-19, kata Anwar lagi.

Ahli Parlimen Port Dickson itu menambah, para wakil rakyat juga sudah lama mendesak agar jawatankuasa bersama dibentuk bersama pembangkang, sejak Mac 2020.

“Ia tidak memerlukan darurat,” tegasnya lagi.

Kenyataan itu muncul selepas menteri hal ehwal undang-undang meminta Anwar mengemukakan tiga nama bagi menganggotai jawatankuasa bebas bipartisan mengenai pelaksanaan darurat.

Ia akan dibentuk dengan mandat untuk mengesyorkan kepada Yang di-Pertuan Agong sekiranya pelaksanaan darurat dapat ditamatkan lebih awal.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Saifuddin Nasution hari ini dilaporkan mengesahkan menerima permohonan itu tetapi menuntut kerajaan menjelaskan komposisi ahli jawatankuasa itu.

“Ini kerana jumlah ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang mungkin sama, atau jika ambil kira perkembangan terbaharu, pembangkang mungkin lebih ramai ahli Parlimen,” katanya.

Kalangan ahli Parlimen pembangkang juga menolak untuk menganggotai jawatankuasa tersebut kerana menganggapnya satu bentuk perakuan kepada keabsahan kerajaan Muhyiddin.

Kenyatan berkenaan merujuk kepada siri pengumuman ahli Parlimen Umno sejak minggu lalu yang tidak lagi menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Blok kerajaan yang sebelum ini mempunyai 112 kerusi kini berkurangan apabila Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang), Ahmad Jazlan Yaakub (Machang) dan Nazri Aziz (Padang Rengas) mengumumkan menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

Pembangkang pula mempunyai 108 kerusi di Dewan Rakyat.

Dua kerusi kosong selepas penyandangnya, masing-masing seorang dari blok kerajaan dan pembangkang, meninggal dunia. – 14 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen